TANJUNG MALIM: Seorang penumpang lori membawa muatan paip PVC maut apabila tercampak dari kenderaan yang dinaikinya dalam nahas di Kilometer (KM) 373.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) arah Selatan di sini malam tadi.
Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd. Hasni Mohd. Nasir berkata, mangsa, Selvan Muniapan, 46, dengan alamat terakhir di Klang, Selangor.
“Kemalangan berlaku kira-kira pukul 8.10 malam apabila pemandu lori berkenaan hilang kawalan semasa dalam perjalanan dari Ipoh menuju ke Kuala Lumpur sebelum melanggar besi pembahagi jalan dan terbabas di lorong tengah lebuh raya.
“Akibat pelanggaran itu, muatan lori berupa paip PVC terpelanting ke laluan bertentangan sebelum terkena dua penunggang motosikal yang melalui jalan tersebut dari arah Behrang ke Trolak,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, kemalangan itu menyebabkan penumpang hadapan kiri lori tercampak keluar dari kenderaan sebelum disahkan meninggal dunia oleh kakitangan Hospital Slim River di lokasi kejadian. – UTUSAN