Penternak lembu gesa segera selesai isu pengusiran

Penternak lembu gesa segera selesai isu pengusiran

Lembu SD Guthrie
R. Vijayagandi menyerahkan surat bantahan itu kepada Mohamad Firdaus Shir Mohd. (tengah/ baju biru muda) di Bangunan SUK, Shah Alam, Selangor hari ini. - UTUSAN / ISKANDAR SHAH MOHAMED
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor digesa segera campur tangan dalam menyelesaikan isu pengusiran ternakan lembu di Ladang SD Guthrie, Sabak Bernam yang masih berlarutan sehingga kini.

Gesaan itu susulan pelaksanaan operasi penangkapan terbaharu dilakukan pihak berkuasa di kawasan ladang berkenaan, kelmarin.

Pengerusi Jawatankuasa Gabungan Penternak Marhaen Nasional, R. Vijayagandi berkata, tindakan itu menjejaskan sekumpulan penternak yang juga pemilik kepada lebih 600 lembu berkenaan.

Menurutnya, kesemua penternak kini buntu memikirkan keadaan haiwan berkenaan berikutan larangan memasuki ladang tersebut.

“Mereka bimbang sekiranya ada daripada lembu itu mati dan mungkin akan berkeliaran di kawasan awam jika tidak dikawal dengan baik.

“Justeru, kami menggesa kerajaan negeri segera campur tangan bagi menyelesaikan isu itu dengan baik bukan saja di Sabak Bernam malah kawasan lain,” katanya ketika ditemui di hadapan Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), hari ini.

Terdahulu, beliau menyerahkan surat bantahan berkaitan isu itu kepada Pegawai Khas kepada Setiausaha Politik Menteri Besar, Mohamad Firdaus Shir Mohd.

Utusan Malaysia pada 23 Januari lalu melaporkan notis pengusiran ternakan kepada penternak lembu ditentukan pihak ladang itu dan kerajaan Selangor tiada mempunyai kuasa untuk membatalkanya.

Exco Kemajuan Desa, Perpaduan dan Pengguna negeri, Datuk Rizam Ismail berkata, keputusan itu merupakan polisi dalaman oleh SD Guthrie berikutan tanah ladang berkenaan adalah milik syarikat.

Kira-kira 176 penternak sebelum itu meminta kerajaan negeri menyediakan tempat baharu bagi meneruskan perusahaan ternakan lembu mereka apabila menerima notis pengusiran tersebut.

Mereka mendakwa kesal dengan notis itu yang disifatkan sebagai tergesa-gesa dengan memberi tarikh akhir pemindahan pada 31 Januari.

Pada 18 Disember tahun lalu, pihak Ladang SD Guthrie diarah segera memindah dan mengosongkan lebih 1,000 lembu milik penternak yang berkeliaran sehingga mengakibatkan kemalangan maut.

Mengulas lanjut, kata Vijayagandi, pihaknya sebelum ini menghantar memorandum dan surat kepada Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari susulan notis pengusiran, penangkapan dan pelupusan ternakan itu.

Sehubungan itu, beliau meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah pentadbiran kerajaan negeri tidak melakukan sebarang pengusiran secara paksa sehingga satu mesyuarat menyeluruh diadakan sehingga satu pertemuan diatur oleh Menteri Besar bersama penternak, pihak berkuasa dan SD Guthrie. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×