KOTA BHARU: Pengasas produk kosmetik di negeri ini dikesan menjadikan madrasah-madrasah tidak berdaftar di Kelantan sebagai tempat pengubahan wang haram.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata, hasil risikan pihaknya mendapati separuh daripada madrasah di Kelantan tidak berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
“Kami bimbang ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan nama pusat pengajian agama bagi meraih derma jutaan ringgit dengan alasan untuk pembangunan atau kegiatan kebajikan, sedangkan ia mungkin disalah guna.
“Kita bimbang apabila pusat pengajian agama ini tidak berdaftar, ia akan disalah guna untuk kegiatan seperti pengubahan wang haram dan sebagainya,” katanya dalam sidang media selepas perhimpunan bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan semalam.
Mohd. Yusoff memberitahu, lebih mengejutkan lagi, ada dalam kalangan pengasas kosmetik sanggup memberi sumbangan mencecah jutaan ringgit dengan alasan pelaburan untuk saham akhirat.
Beliau berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung segelintir individu dari dalam dan luar Kelantan yang sanggup membayar RM2 juta dan melabur kepada individu tertentu yang mendakwa mempunyai ‘keistimewaan’ atau berstatus wali bagi tujuan memperoleh keberkatan dan kesejahteraan.
“Ada yang melabur sehingga berjuta-juta berkemungkinan terpengaruh dengan penggunaan kata-kata sehingga menjadi taksub.
“Situasi ini seperti ‘Ayah Pin’ yang baharu dan kami mendapati ada kanak-kanak jadi taksub sehingga tidak mahu pulang ke rumah walaupun dijemput ibu bapa,” katanya.
Sehubungan dengan itu beliau nasihatkan orang ramai supaya menyemak terlebih dahulu status pendaftaran sesebuah madrasah, pondok atau tahfiz sebelum menyalurkan sumbangan.
“Selain itu, pastikan juga guru yang mengajar di situ memiliki tauliah bagi mengelakkan penyalahgunaan gelaran ustaz atau wali yang boleh menyelewengkan ajaran agama.
“Kita akan terus bekerjasama dengan MAIK dalam memantau bukan sahaja isu pengubahan wang haram, tetapi juga kemungkinan berlakunya ajaran sesat dalam kalangan pusat pengajian agama tidak berdaftar di negeri ini,” ujarnya.-UTUSAN.