ALOR SETAR: Pelantikan Tan Sri Annuar Musa sebagai Pengarah Pilihan Raya Pas Sabah dilakukan berdasarkan pengalaman luas bekas Ahli Parlimen Ketereh itu dalam UMNO dan memahami dinamika politik di Sabah.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, bekas Setiausaha Agung UMNO itu lebih sesuai menggalas tanggungjawab itu berbanding dirinya.
“Tiada pertindihan peranan sebab dia timbalan saya (Timbalan Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas) jadi untuk mengendalikan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah kita lantik dia jadi ketua sebab dia ada pengalaman lama dalam UMNO serta berpengalaman luas dalam kerja-kerja pilihan raya dan senario politik Sabah.
“Kalau saya bimbang tak ada masa yang lama untuk ke sana, lagi pun pendekatan politik di Sabah berbeza dengan di Kedah atau di Kelantan. Saya harap dapat tempatkan beliau di sana sehingga hari pengundian PRN Sabah,” katanya selepas Majlis Penyampaian Bantuan Deepavali di sini, hari ini.
Baru-baru ini, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menyerahkan watikah pelantikan kepada Annuar yang sebelum itu dilantik sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat selepas Muktamar Tahunan Pas ke-71.
Sementara itu, Muhammad Sanusi yakin gandingan beliau bersama Annuar dan pimpinan Pas mampu menembusi Sabah dengan kemenangan sulung parti itu di sana kelak.
“Rundingan tentang kerusi-kerusi yang akan ditandingi Pas sudah dimuktamadkan melalui pembahagian antara parti komponen Perikatan Nasional (PN), cuma saya tak boleh maklum lebih lanjut lagi sehingga diumumkan oleh parti.
“Tetapi selepas dapat tahu kerusi mana Pas akan bertanding kita terus hantar jentera untuk bekerja di sana walaupun kerja-kerja dah bermula dari sekarang dan calon-calon akan diumumkan sebelum hari penamaan calon diadakan nanti,” katanya.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah itu memaklumkan beliau tidak dikenakan apa-apa sekatan untuk ke Sabah. – UTUSAN










