Pempengaruh TikTok Rambo Castello meninggal dunia di Indonesia - Utusan Malaysia

Pempengaruh TikTok Rambo Castello meninggal dunia di Indonesia

PEMPENGARUH TikTok Rambo Castello yang terkena serangan jantung meninggal dunia awal pagi tadi di Indonesia.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Pempengaruh TikTok Rambo Castello yang terkena serangan jantung di Indonesia sebelum ini meninggal dunia awal pagi tadi.

Rambo Castello atau nama sebenarnya Ahmad Radzli Che Ngah, 59, yang merupakan kakitangan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Jeli, mengembuskan nafas terakhirnya disamping isteri Asiah Abdullah, 55, dan anaknya Hafizul Fazli Ahmad Radzli, 30, semasa menerima rawatan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta.

Sementara itu, Hafizul Fazli berkata, ketika ini dia dan ibunya sedang menunggu pihak kedutaan untuk proses membawa pulang jenazah bapa ke Malaysia.

“Jenazah bapa telah siap dimandi dan dikafankan. Insya-Allah, jenazah akan dibawa pulang ke Malaysia hari ini, cuma waktunya belum diketahui.

“Sejurus tiba di Kuala Lumpur, jenazah bapa akan dibawa ke Kelantan dengan menaiki van jenazah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Hafizul Fazli memberitahu, jenazah padanya itu akan dikebumikan di Kampung Legeh, Air Lanas, Jeli.

Katanya, sebelum meninggal dunia bapanya sempat sedarkan diri kelmarin.

“Kami sempat berinteraksinya. Walaupun bapa tidak dapat bercakap namun dia senyum dan mengangguk tanda faham semasa kami berbual dengannya.

“Pihak hospital memaklumkan kepada kami, punca kematian bapa akibat serangan jantung serta jangkitan pada paru-paru. Semasa rawatan dia terkena serangan asma,” ujarnya.

Media sebelum ini melaporkan, keluarga kepada pempengaruh media sosial, Rambo Castello yang kini ditidurkan di Rumah Sakit Sardjito, Jogjakarta sejak 5 Oktober lalu akibat serangan jantung merayu kerajaan supaya membantu membawa pulang individu berkenaan dengan kadar segera.

Rambo Castello merupakan pempengaruh media sosial terkenal dengan kandungan berbentuk nasihat mengenai kehidupan masyarakat luar bandar serta perkongsian tip bercucuk tanam.

Beliau mempunyai lebih 168,000 pengikut di Facebook dan lebih 330,000 pengikut di TikTok.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN