BACHOK: Hasrat murni seorang anggota Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang cuba menyelamatkan adiknya yang lemas semasa mandi-manda berakhir tragedi apabila lelaki itu turut hilang di Pantai Kandis, di sini hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 5.15 petang itu, anggota bomba terbabit, Ahmad Badrul Naim Ab. Wahab, 32, disedari hilang ketika cuba menyelamatkan adik lelakinya yang berusia 21 tahun.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bachok, Ahmad Ridhuan Mohamad Ghazali berkata, kedua-dua mangsa disedari hilang oleh orang awam yang berada di kawasan berkenaan.
“Kami terima panggilan kecemasan pukul 5.30 petang sebelum ke lokasi kejadian untuk operasi mencari kedua-dua mangsa.
“Setakat ini, kedua-dua mangsa gagal ditemukamdan operasi mencari masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini. – UTUSAN










