SHAH ALAM: Ribuan pengunjung memeriahkan ‘Festival Mega i LINDUNG U’ anjuran Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) yang berlangsung di pekarangan Stadium Shah Alam selama tiga hari bermula 24 Oktober lalu, sekali gus membuka ruang kepada masyarakat untuk memahami dengan lebih dekat faedah perlindungan keselamatan sosial di bawah PERKESO.
Program berbentuk khidmat sosial korporat itu menjadi platform penting bagi menyebar luas maklumat berkaitan skim perlindungan PERKESO, di samping menawarkan pelbagai kemudahan dan aktiviti interaktif kepada pencarum serta orang ramai.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan PERKESO, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, festival tersebut memberi tumpuan kepada penjenamaan semula empat produk utama Perkeso di bawah konsep ‘LINDUNG’ iaitu LINDUNG Pekerja, LINDUNG Kerjaya, LINDUNG Kendiri dan LINDUNG Kasih.
“LINDUNG diwujudkan bagi memastikan setiap individu mempunyai perlindungan sosial menyeluruh. Ia bukan sekadar untuk pekerja sektor formal, tetapi turut merangkumi mereka yang bekerja sendiri, kehilangan kerja dan suri rumah yang menyumbang kepada ekonomi keluarga,” katanya.
Antara manfaatnya seperti LINDUNG Kerjaya memberi bantuan kewangan segera kepada individu yang kehilangan pekerjaan, termasuk elaun serta latihan vokasional bagi membantu mereka kembali ke pasaran kerja. LINDUNG Kendiri pula memberi perlindungan kepada golongan bekerja sendiri dan pekerja gig sekiranya berlaku kemalangan atau penyakit pekerjaan.
Bagi wanita atau ahli keluarga, skim LINDUNG Kasih menawarkan perlindungan keselamatan sosial untuk suri rumah berumur bawah 55 tahun dengan bayaran caruman serendah RM120 setahun. Manakala LINDUNG Pekerja memberi jaminan kepada pekerja formal melalui faedah kemalangan pekerjaan, hilang upaya dan Pencen Ilat bagi pencarum yang layak.
Pengunjung festival, Ong Boon Seong, 45, dari Klang, menyifatkan penganjuran itu sebagai peluang terbaik untuk mencari kerja selepas sebulan menganggur.
“Saya dapat tahu tentang program ini melalui e-mel. PERKESO banyak membantu, saya baru sebulan menerima elaun Skim Insurans Pekerjaan (SIP) dan hari ini dua syarikat sudah temu duga saya,” katanya.
Pasangan suami isteri dari Subang, Badrul Amin Mokhtaruddin, 27, dan Siti Nurizwani Che Wan Abdullah, 26, pula hadir bagi mendapatkan maklumat lanjut mengenai faedah SIP selepas Siti Nurizwani ditamatkan perkhidmatan melalui skim pemberhentian sukarela.
“Ini kali pertama kami buat tuntutan. Syukur ada Festival Mega i LINDUNG U, mudah untuk kami bertanya dan membuat tuntutan,” kata Siti Nurizwani.
Sementara itu, Treka Loganathan, 23, seorang pensyarah IT dari Kolej Kemahiran Pure Teknik, Seremban, membawa pelajarnya ke festival tersebut untuk memberi pendedahan awal mengenai manfaat Perkeso.
“Saya sendiri pencarum baru 10 bulan. Banyak maklumat saya dapat tentang faedah perlindungan dan kesihatan pekerjaan,” katanya.
Suasana di pekarangan stadium meriah dengan kunjungan ribuan orang ramai yang turut menikmati pemeriksaan kesihatan percuma, pelbagai aktiviti interaktif dan reruai pameran.
Festival turut dimeriahkan dengan Karnival LINDUNG Kerjaya MYFutureJobs, menawarkan peluang pekerjaan daripada pelbagai syarikat dan agensi.
Selain pameran, pengunjung juga berpeluang menikmati festival makanan dan aktiviti santai keluarga yang diadakan sepanjang tiga hari penganjuran, menjadikan acara ini bukan sekadar wadah promosi tetapi juga platform memperkukuh hubungan masyarakat dengan institusi keselamatan sosial negara.
“Festival ini membuktikan keselamatan sosial bukan lagi isu pekerja semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama seluruh rakyat. PERKESO mahu rakyat faham bahawa LINDUNG bermakna perlindungan untuk semua,” ujar Mohammed Azman. – UTUSAN









