KUALA LUMPUR: Peguam syarie yang mewakili selebriti, Uqasha Senrose memaklumkan kepada Mahkamah Rendah Syariah di sini hari ini bahawa beliau menarik diri daripada mewakili anak guamnya dalam prosiding kes permohonan cerai pelakon tersebut.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam syarie, Nurfarhana Abd. Manaf ketika prosiding yang dijalankan di hadapan Hakim Syarie, Siti Noraini Mohd. Ali.
Menurut Nurfarhana, keputusan untuk menarik diri dibuat atas alasan wujudnya isu profesionalisme antara beliau dan pelakon tersebut.
“Saya telah memaklumkan kepada anak guam mengenai perkara ini dan kami bersetuju untuk menyelesaikannya secara baik. Permohonan tersebut akan difailkan secara rasmi selepas prosiding hari ini,” katanya.
Pada ketika itu, Uqasha atau nama penuhnya, Nik Zaris Uqasha Nik Sen tiada di dalam mahkamah dan hanya hadir di mahkamah pada pukul 10.30 pagi, selepas prosiding berakhir.
Pada prosiding hari ini juga, Hakim Siti Noraini turut mengeluarkan notis amaran terhadap pelakon drama Tundukkan Playboy Itu.
Walaupun mengambil maklum bahawa prosiding hari ini adalah kali pertama pelakon itu gagal hadir, namun mahkamah tetap mengeluarkan notis itu bagi mengetahui sama ada Uqasha ingin meneruskan kes berkenaan atau sebaliknya.
Terdahulu peguam yang mewakili defendan Kamal Adli, Ahmad Hadi Mohamad Salleh memohon agar kes tersebut ditangguhkan bagi memberi peluang kepada Uqasha bagi menjelaskan ketidakhadirannya.
Kes ditetapkan untuk sebutan semula pada 19 November ini.
Terdahulu, Kamal Adli atau nama penuhnya Ahmad Kamal Ahmad Adli, 39, tiba di perkarangan mahkamah sekitar pukul 9.45 pagi ditemani peguamnya serta beberapa rakan rapat.
Ketika ditemui media sebelum prosiding, Kamal berkata, kehadirannya ke mahkamah adalah atas niat baik untuk menyelamatkan rumah tangga yang sedang bergolak.
Uqasha memfailkan permohonan cerai terhadap suaminya pada 1 Oktober lalu atas alasan tiada persefahaman dalam rumah tangga.
Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dan dikurniakan seorang anak perempuan berusia 15 bulan, Hawra Uqaira. – UTUSAN










