PDRM sudah keluar waran tangkap terhadap Muhammad Adlan - KPN

PDRM sudah keluar waran tangkap terhadap Muhammad Adlan – KPN

MUHAMMAD ADLAN BERHAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah mengeluarkan waran tangkap terhadap menantu bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan sebelum ini bagi menghadapi pertuduhan pecah amanah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd. Khalid Ismail berkata, Muhammad Adlan dipercayai berada di luar negara dan tindakan sedang diambil ketika ini dengan kerjasama negara berkaitan. 

“Semua sedia maklum bahawa beliau berada di luar negara. Kita telah mengeluarkan sebelum ini waran tangkap.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi adalah tindakan-tindakan yang sedang kita laksanakan, memerlukan bantuan daripada negara yang berkaitan dan insya-Allah kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan masalah ini,” katanya selepas melakukan tinjauan persiapan sempena Sidang Kemuncak ASEAN ke-47, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ayob Khan Mydin Pitchay; Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri; Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus dan Timbalan Pengarah Gerakan/Operasi Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh.

Menjawab pertanyaan sama ada PDRM menerima maklum balas daripada Interpol  berhubung permohonan notis merah oleh SPRM itu, Mohd Khalid menjelaskan, pihaknya belum menerima sebarang perkembangan.

“Setakat ini, kita tidak terima apa-apa lagi. Mungkin SPRM boleh menjawab persoalan itu,” jelasnya.

Sebelum ini, akhbar melaporkan, Muhammad Adlan dipercayai menjalani kehidupan mewah di Asia Barat dan kerap keluar masuk beberapa negara rantau itu sejak dua tahun lalu.

Muhammad Adlan dikehendaki SPRM bagi membantu siasatan kes pecah amanah  dan masih belum dibawa pulang ke Malaysia.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya sebelum ini dilaporkan berkata, siasatan terhadap kes itu bermula pada 13 Mac 2023 selepas laporan rasmi diterima. 

Katanya, antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat menghubungi Muhammad Adlan berkali-kali melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi bagi memintanya hadir ke ibu pejabat SPRM.

“Apabila Muhammad Adlan gagal hadir, SPRM mengambil beberapa tindakan termasuk mendapatkan waran tangkap dari Mahkamah Majistret Shah Alam pada 7 September 2023 selain memohon Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan menyerahkan dokumen penuh kepada Interpol pada Oktober 2023.

“Selain itu, SPRM juga bekerjasama dengan Jabatan Imigresen bagi membatalkan pasport mereka antara Ogos dan September 2023 selain mengemukakan beberapa laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini