Pasangan warga emas berpaut pada tali selamatkan diri

Pasangan warga emas berpaut pada tali selamatkan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KULIM: Sepasang suami isteri warga emas berhadapan detik cemas apabila terpaksa berpaut pada tali sejauh 30 meter untuk menyelamatkan diri dalam banjir di Kampung Paya Tok Betuk, petang kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira pukul 8 malam itu, Mariam Yahya, 65, dan suaminya, Hussin Junus, 72, dibantu anak dan menantu mereka bertaruh nyawa setelah air mencecah setinggi satu meter di dalam rumah.

“Saya dan suami tidak boleh menunggu lama lagi di rumah jadi kami ambil keputusan meranduk air di halaman untuk ke tempat selamat setelah air naik paras pinggang dalam rumah,” katanya ketika ditemui di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Kampung Paya Tok Betuk, semalam.

Menurut Mariam, hujan lebat sejak petang menyebabkan air sungai berhampiran melimpah masuk dengan cepat sehingga mereka tidak sempat menyelamatkan banyak barangan.

“Kami lima orang dalam rumah masa itu termasuk anak perempuan serta menantu dan cucu. Tali itu dipasang menantu saya, Hafizul Naim Yahya, 26, bersama jiran dari tiang rumah ke serumpun pokok buluh di hadapan rumah. Meskipun sakit lutut, saya gagahkan diri juga untuk menyelamatkan diri,” katanya.

Sementara itu, Hussin berkata, kejadian kali ini merupakan banjir kedua dalam tempoh seminggu selepas kali pertama berlaku pada 17 Oktober lalu.

“Rumah ini tinggi pun air tetap masuk sampai paras pinggang. Baru semalam cuci peti sejuk beku, tapi kena banjir lagi.

Memang letih, tapi nak buat macam mana, setiap tahun mesti kena hadap dua kali,” katanya yang sudah lebih 30 tahun menetap di situ.

Anak perempuan mereka, Siti Aminah, 27, berkata, dia ada menghubungi pasukan penyelamat untuk bantuan namun disebabkan air semakin tinggi mereka terpaksa mengambil tindakan awal untuk selamatkan diri.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×