JOHOR BAHRU: Pasangan suami isteri terpaksa mengurangkan perbelanjaan bagi menyambut perayaan Deepavali bagi memastikan kelengkapan persekolahan anak-anaknya mencukupi.
R. Shanti, 43, memberitahu, 10 daripada 15 anaknya masih bersekolah, sehubungan itu hampir keseluruhan pendapatan keluarga dihabiskan bagi urusan pendidikan anak-anaknya dan bukan membeli pakaian dan kelengkapan perayaan.
Bagaimanapun katanya, dia dan suami, J. Ashokan, 44, tetap bersyukur kerana kesemua anaknya memahami situasi ekonomi keluarga dan tidak pernah mengeluh dengan nasib mereka.
“Anak saya berusia antara lapan bulan hingga 22 tahun, dengan tiga daripadanya sudah menamatkan persekolahan, termasuk memiliki diploma. Dua daripadanya sedang mencari pekerjaan manakala seorang lagi berhasrat menyambut pelajaran.
“Ketiga-tiga mereka menjadi contoh baik kepada adik-adik yang lain agar tidak lupakan pelajaran walaupun hidup susah, mereka juga sudah biasa berkongsi kelengkapan persekolahan antara satu sama lain.
“Walaupun keluarga kami besar dan serba kekurangan, saya dan suami tetap berikan penekanan kepada mereka agar jangan abaikan pendidikan serta sentiasa mengamalkan nilai murni dalam kehidupan masing-masing,” katanya.
Dia ditemui pada Program Penyampaian Baju Deepavali anjuran Malaysia Hindu Sangam di pasar raya S. Subramaniam & Son’s di Taman Ria Plentong, di sini baru-baru ini.
Tambah Shanti, keluarganya akan menyambut perayaan itu di kediaman mereka di Taman Air Biru, Pasir Gudang dekat sini.
“Rumah kami rumah flat yang ada tiga bilik tidur sahaja, jadi memang agak penuh tetapi anak-anak sudah biasa. Bukan mudah membesarkan anak ramai dengan masing-masing mempunyai kehendak dan minat berbeza.
“Tetapi saya dan suami tetap berfikiran positif, bagi kami semangat kekeluargaan perlu diterapkan dalam diri anak-anak,” katanya.-UTUSAN.










