Pas perlu sokongan bukan Melayu untuk jadi Perdana Menteri

Pas perlu sokongan bukan Melayu untuk jadi Perdana Menteri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Hasrat Pas untuk menampilkan calon Perdana Menteri daripada parti itu dilihat sukar direalisasikan tanpa sokongan pengundi bukan Melayu serta parti-parti dari Sabah dan Sarawak.

Pensyarah Pusat Perdana, Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Madya Dr. Mazlan Ali berkata, Pas tidak mampu memperoleh 112 kerusi secara bersendirian untuk membentuk Kerajaan Persekutuan.

Katanya, jumlah kerusi yang mampu dimenangi Pas tidak akan mencukupi untuk menubuhkan kerajaan tanpa gabungan dengan parti-parti lain.

Katanya, keadaan itu menyebabkan parti tersebut tetap bergantung kepada kerjasama politik dengan pihak lain bagi memastikan pembentukan kerajaan dapat direalisasikan.

“Daripada segi realiti, agak sukar untuk Pas melahirkan seorang Perdana Menteri kerana mustahil bagi parti itu memperoleh 112 kerusi secara bersendirian. Katakanlah Pas menang 50 atau 60 kerusi sekali pun, mereka masih memerlukan sokongan parti lain.

“Sekiranya suatu ketika nanti Pas muncul sebagai parti yang paling banyak memenangi kerusi tetapi masih tidak mencapai angka 112, Pas tetap memerlukan sokongan tambahan, sama ada daripada parti-parti bukan Melayu, mahupun dari Sabah, Sarawak bahkan DAP,” katanya kepada Utusan Malaysia.

MAZLAN ALI

Utusan Malaysia sebelum ini melaporkan, calon Perdana Menteri daripada Perikatan Nasional (PN) sama ada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) atau Pas tidak semestinya seorang yang mahir dalam ilmu ekonomi semata-mata.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan dilaporkan berpandangan, hal demikian kerana kebiasaannya, seseorang Perdana Menteri akan mempunyai penasihat dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi.

Sementara itu, penganalisis politik, Dr. Azmi Hassan berkata, kedudukan Pas dalam PN kini terlalu bergantung kepada kestabilan dalaman Bersatu yang dilihat masih berdepan kemelut kepimpinan.

Katanya, Pas mengakui bahawa perpecahan dalam Bersatu boleh menjejaskan kekuatan gabungan itu sekali gus memberi kesan terhadap peluang PN untuk menawan Putrajaya.

“Sepertimana UMNO dan juga Pakatan Harapan lebih selesa dengan (Datuk Seri) Hamzah Zainudin sebagai peneraju Bersatu, Pas juga saya rasa berpendapat begitu.

“Mereka lebih selesa dengan Hamzah berbanding Tan Sri Muhyiddin (Tan Sri Muhyiddin Yassin) yang dikatakan sukar untuk berkompromi dalam hal politik,” katanya.

AZMI HASSAN

Menurut beliau, situasi itu jelas terbukti melalui kenyataan-kenyataan Pas terutama ketika muktamar lalu yang menggambarkan kehendak parti itu supaya Muhyiddin digantikan dengan Hamzah.

“Bukan sahaja kerana lebih selesa, tetapi Pas merasakan dengan Hamzah menerajui Bersatu, parti itu akan menjadi lebih kuat dan apabila Bersatu lebih kuat, ia akan memberi kesan positif kepada Pas serta PN,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN