KUALA LUMPUR: Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mewartakan 4,776 pakar perubatan, melantik 13,349 pegawai perubatan kontrak kepada lantikan tetap dan 8,121 jururawat baharu sejak tahun 2020 bagi menangani kekurangan tenaga kerja dan penghijrahan bakat.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, bagi mengukuhkan lagi sektor kesihatan awam, pada tahun ini saja, seramai 4,518 pegawai perubatan kontrak telah ditawarkan ke jawatan tetap.
Katanya, secara purata, sejak tahun 2022, hampir 4,000 pegawai perubatan kontrak telah dilantik ke jawatan tetap setiap tahun.
“Pada tahun 2024, KKM menerima 16,332 jawatan baharu iaitu peningkatan 22.9 peratus berbanding 13,287 pada tahun 2023. Ini selari dengan peningkatan populasi penduduk melalui libat urus berterusan dengan agensi pusat.
“KKM menyediakan Bayaran Insentif Pakar antara RM2,200 hingga RM3,100 sebulan. Bayaran Insentif Penempatan Pakar di Sabah, Sarawak dan Labuan antara RM500 hingga RM2,500 sebulan, Elaun Pembedahan Elektif antara RM80 hingga RM200 sejam serta Bayaran Insentif Mengikut Lokasi dan Tahap Kesusahan antara RM500 hingga RM1,500 sebulan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman web Parlimen.
Dr. Dzulkefly menjawab pertanyaan Kapten (B) Datuk Dr. Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang – Bebas) memintanya menyatakan sejauh mana pelaksanaan pelan Future of Health Workforce telah mencapai sasaran seperti pangkalan data tenaga kesihatan, penambahbaikan sistem pelesenan dan langkah konkrit bagi menangani masalah kekurangan pegawai serta isu ‘brain drain’.
Katanya lagi, antara inisiatif KKM untuk menangani isu kekurangan tenaga kerja dan penghijrahan bakat adalah memberikan peluang kenaikan pangkat secara berasaskan masa dari Gred UD9 ke Gred UD14 dalam tempoh sembilan tahun bagi pakar perubatan dan 12 tahun bagi pegawai perubatan.
Katanya, jururawat pula mendapat peluang kenaikan pangkat berasaskan kecemerlangan dalam tempoh 13 tahun perkhidmatan,” katanya.
Mengulas mengenai Pelan Future of Health Workforce, Dr. Dzulkefly berkata, ia merupakan dokumen berwawasan jangka panjang yang menuntut pendekatan strategik berbilang tahun dan bukan penyelesaian bersifat serta-merta.
“Walaupun dokumen tersebut bukan merupakan penerbitan rasmi KKM, kami telah mengambil maklum dan meneliti sebahagian besar syor yang dikemukakan. Beberapa cadangan telah diambil kira dan disepadukan dalam perancangan serta pelaksanaan Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13).
“Usaha ini disokong oleh dasar gaji dan kerjaya dalam perkhidmatan awam seperti yang telah diumumkan di Parlimen baru-baru ini,” katanya.
Beliau berkata, mengenai pangkalan data, KKM sedang memperkukuh keupayaan pengumpulan dan penyelarasan data sumber manusia kesihatan bagi menyokong perancangan pengambilan, penempatan dan latihan.
Katanya, keutamaan KKM ialah kesepadanan data antara disiplin, kebolehgunaan untuk unjuran keperluan, dan kebolehpercayaan untuk membuat keputusan dasar.
“Kedua, tentang pelesenan. Penambahbaikan dilaksana secara berfasa dengan matlamat memendekkan masa proses, menyeragamkan keperluan, dan memudahkan peralihan
kerjaya klinikal termasuk laluan kepakaran dan sub kepakaran.
“Pendekatannya pragmatik, ia memberi kejelasan standard tanpa menjejaskan keselamatan pesakit,” katanya. – UTUSAN










