KANGAR: Seorang penyelidik Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Norazian Mohamed Noor dari Fakulti Kejuruteraan dan Teknologi Awam (FKTA) mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih Anugerah Emas Berganda (Double Gold Award) di Globalwiin Submit of Roundtables & Awards 2025 yang berlangsung di London, United Kingdom pada 22 hingga 23 Oktober lalu.
Anugerah berprestij itu dianjurkan oleh Global Women Inventors & Innovators Network (Globalwiin) iaitu sebuah platform antarabangsa yang memberi pengiktirafan kepada wanita yang cemerlang dalam bidang inovasi, ciptaan dan keusahawanan di seluruh dunia.
Anugerah tersebut telah disampaikan oleh Presiden Globalwiin, Dr. Bola Olabisi dalam satu majlis yang menghimpunkan penyelidik dan inovator wanita dari pelbagai negara.
Norazian menerima pengiktirafan itu menerusi inovasi bertajuk ‘Smart Air Quality Forecasting Tool for Transboundary Haze Events in Southeast Asia’ iaitu satu sistem ramalan pintar berasaskan gabungan kaedah statistik dan pembelajaran mesin (AI) untuk meramalkan kepekatan bahan pencemar udara semasa episod jerebu rentas sempadan di Asia Tenggara.
Norazian berkata, inovasi tersebut dibangunkan bagi memenuhi keperluan mendesak terhadap sistem ramalan kualiti udara yang lebih tepat, pantas dan berasaskan data sebenar.
“Cabaran jerebu di rantau ini bukan sahaja menjejaskan kesihatan awam, malah memberi impak besar kepada ekonomi dan alam sekitar. Inovasi ini dihasilkan bagi membantu pihak berkuasa serta masyarakat membuat tindakan awal berdasarkan ramalan kualiti udara yang lebih tepat,” katanya.
Sidang kemuncak Globalwiin turut menghimpunkan peserta dari pelbagai negara yang terdiri daripada golongan usahawan, penyelidik dan pencipta wanita.
Setiap penyertaan dinilai melalui proses ketat termasuk penyerahan dokumen sokongan serta sesi pembentangan akhir (final pitching) di hadapan panel antarabangsa.
Tambah Norazian, alat ramalan tersebut turut menggabungkan pelbagai bahan pencemar utama seperti karbon monoksida (CO), ozon (O₃) dan sulfur dioksida (SO₂), selain mengambil kira parameter meteorologi seperti suhu, kelajuan angin dan kelembapan yang sekali gus meningkatkan ketepatan ramalan berbanding model linear tradisional.
Sementara itu, Naib Canselor Unimap, Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, pencapaian Norazian itu membuktikan keupayaan penyelidik universiti tempatan bersaing di pentas antarabangsa.
Katanya, kejayaan tersebut bukan sahaja mengangkat nama Unimap dan Malaysia di peringkat global, tetapi menjadi inspirasi kepada golongan wanita dalam bidang sains dan teknologi untuk terus mencipta impak.
“Kejayaan ini juga sekali gus memperkukuh reputasi Unimap sebagai universiti berteraskan teknologi dan inovasi, selaras dengan peranannya dalam Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) dan sebagai usaha negara memperkukuh ekosistem TVET dan penyelidikan berimpak tinggi,” katanya.-UTUSAN










