KOTA BHARU: Ahli Parlimen Pas yang membawa suara rakyat perlu meningkatkan mutu dan kualiti perbahasan mereka di Dewan Rakyat.
Naib Presiden Pas, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah berkata, selain berkualiti, hujah yang dibawa setiap Ahli Parlimen itu juga perlu berfakta bagi memberi keyakinan kepada rakyat.
Katanya, kegagalan menyampaikan hujah yang berkesan menyebabkan rakyat tidak nampak sumbangan telah diberikan oleh Ahli Parlimen di kawasan masing-masing.
“Selepas ini, wakil rakyat kita perlu lebih ‘substantif’ dalam hujah serta perbahasan supaya merangkumi pelbagai aspek. Sebab kadang-kadang kita hanya fokus kepada aspek-aspek tertentu sahaja seperti agama dan bangsa.
“Tapi, kalau boleh lebih lagi supaya Pas nampak lebih mewakili rakyat. Sebab di Malaysia bukan ada orang Islam sahaja, kita ada agama lain,” katanya kepada Mingguan Malaysia.
Mohd. Amar berharap wakil rakyat Pas dapat menyuarakan pandangan di Parlimen dengan mewakili seluruh rakyat Malaysia, bukan kelompok-kelompok tertentu sahaja.
Katanya, sebagai contoh Rang Undang-Undang (RUU) Pembaharuan Semula Bandar (PSB) yang merentasi pelbagai kaum di negara ini.
Kata beliau, ia tidak hanya tertumpu kepada orang Melayu sebaliknya orang Cina turut bangkit membantah perkara tersebut termasuk kes kematian Zara Qairina Mahathir.
“Pas sentiasa mengkritik kerajaan sehingga ada ahli Parlimen parti digantung selama tiga hari, 10 hari dan dua minggu. Mungkin itu tidak cukup dan orang di luar (rakyat) tidak nampak sumbangan Pas.
“Masa Pakatan Harapan (PH) dulu lawan kerajaan orang nampak sebab dia (PH) lakukan gila-gila dengan berguling dan tidur di atas jalan. Tapi Pas tidak sampai ke tahap itu, tapi kita (Pas) lawan dengan kritik kerajaan,” katanya.
Mohd. Amar berkata, wakil rakyat Pas juga perlu tampil lebih agresif apabila berbahas di Parlimen dengan hujah berkualiti. – UTUSAN









