PONTIAN: Kumpulan nelayan di Tampok Laut di sini berharap tidak lagi berlaku pencerobohan oleh mana-mana pihak ke kawasan ternakan kerang yang dikhususkan untuk nelayan di kawasan itu.
Pengerusi Komuniti Pakatan Nelayan Sungai Tampok Laut, Benut, Abdul Aziz Mohd. Nor, berkata, pihaknya telah diberikan Lesen Pendudukan Sementara (LPS) dari Pejabat Tanah Pontian bagi tanah berkeluasan 25 hektar dibawah projek kerang-kerangan.
Katanya, pihaknya juga telah membayar bayaran termasuk permohonan dan LPS berjumlah RM1,260 sebagai bukti kawasan tersebut telah menjadi milik 37 orang nelayan di Tampok Laut ini.
Oleh itu, Abdul Aziz, pihaknya berharap tiada lagi pihak yang datang menceroboh dan mencuri kerang-kerangan yang memerlukan masa pembesaran selama lapan bulan sebelum dapat dituai.
“Berikan kepada kami untuk menjaga dan memelihara kerang-kerang sehingga mencapai saiz yang sesuai untuk dituai sebagai bonus tahunan selepas lapan bulan menanti,” katanya ketika ditemui di jeti nelayan Kampung Tampok Laut di sini.
Tambah Abdul Aziz, saiz kerang yang sesuai untuk dituai sebagaimana dibenarkan oleh Pejabat Perikanan adalah 24 milimeter bagi mengelakkan tuaian belum sampai masanya.
“Pada musim lalu, kami berjaya memasarkan 80 tan kerang bagi kedua-dua saiz A dan B dan nelayan juga mendapat ‘bonus’ anggaran RM10,000 ribu seorang,” ujarnya.-UTUSAN.










