GUA MUSANG: Seorang mandur ditemukan maut dalam keadaan mengerikan selepas diserang sekawan gajah liar yang turun minyak ketika sedang tidur di rumah kongsi dekat kawasan pembalakan Felda Aring 8 di sini semalam.
Mangsa Saidi Jahari, 43, yang merupakan mandur di kawasan pembalakan itu ditemukan dengan kesan cedera parah pada tubuh badan.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintenden Sik Choon Foo berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada pukul 8.15 pagi semalam.
Katanya, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika enam orang pekerja pembalakan sedang tidur di dalam rumah kongsi tersebut.
“Sebelum kejadian pekerja berkenaan telah terhidu bau gajah yang kuat dan terdengar bunyi bising di luar khemah sebelum melihat sekawan gajah liar menghampiri kawasan tersebut.
“Kesemua pekerja bertindak melarikan diri ke kawasan hutan untuk menyelamatkan diri, bagaimanapun, mangsa tidak sempat melarikan diri dan telah diserang oleh seekor gajah,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Choon Foo memberitahu, beberapa jam kemudian, kumpulan pekerja yang melarikan diri telah kembali ke rumah kongsi tersebut dan mendapati mangsa masih hidup, namun mengalami kecederaan serius termasuk patah kedua-dua belah kaki.
Katanya, pekerja ladang berkenaan telah membawa mangsa masuk ke dalam rumah kongsi bagi mendapatkan perlindungan sementara.
“Tidak lama kemudian seekor gajah dipercayai ketua kawanan telah kembali ke kawasan rumah kongsi dan menyerang semula semua pekerja ladang di situ.
“Kesemua mereka sekali lagi melarikan diri ke dalam hutan dan meninggalkan mangsa di lokasi. Setelah keadaan kembali tenang, para pekerja kembali semula ke rumah kongsi dan mendapati mangsa telah tiada,” ujarnya.
Choon Foo berkata, hasil pencarian di kawasan berhampiran menemukan mangsa sudah tidak bernyawa di jalan keluar dengan kesan cedera parah pada tubuh dipercayai dipijak gajah.
Katanya, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) sudah menjalankan usaha mengesan serta mengawal pergerakan kawanan gajah terbabit.
“Siasatan lanjut masih diteruskan dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya.-UTUSAN










