Malaysia sedia hantar pasukan pendamai ke Gaza

Malaysia sedia hantar pasukan pendamai ke Gaza

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Malaysia bersedia untuk menghantar pasukan pendamai ke Gaza bagi menjamin keamanan susulan perjanjian pelan damai yang ditandatangani dengan Israel di Mesir, kelmarin.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara berkaitan penghantaran pa­su­kan itu akan dibincangkan oleh Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), seterus­nya diputuskan oleh Majlis Keselamatan Pertubuhan Bang­sa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Sebaik Majlis Keselamatan PBB bersetuju, Malaysia bersedia jika diminta dan diperlukan. Selama ini kita tidak pernah menolak. Ada saja pasukan pendamai, kita akan kirim.

“Saya setuju pasukan penda­mai ini sekurang-kurangnya yang terbaik untuk menjamin keamanan bagi Gaza,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, semalam.

Beliau menjawab soalan tam­bahan Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man (PN-Kubang Kerian) mengenai sama ada Malaysia akan menghantar pasu­kan pendamai ke Gaza, berikutan kebimbangan Israel akan melanggar perjanjian pe­lan damai Gaza dan menyerang kembali wilayah itu.

Dalam pada itu, Anwar ber­kata, Malaysia juga bersedia menghantar pasukan pakar perubatan serta bantuan kemanusiaan merentasi pintu sempadan Rafah bagi membantu rakyat Palestin yang tertindas di Gaza.

Komitmen itu dinyatakan oleh Perdana Menteri yang men­jangka dapat menghubu­ngi Presiden Mesir, Abdel Fattah el-Sisi bagi memohon agar laluan tersebut dibuka melalui wilayah Mesir.

“Semalam (kelmarin), saya minta Presiden el-Sisi di Sharm el-Sheikh, kemungkinan besar petang ini (semalam) jika saya dapat bicara akan minta supaya laluan diberikan melalui pintu Rafah di Mesir dan membawa masuk pakar-pakar perubatan.

“Daripada kita bawa mereka ke sini, lebih baik kita bawa pakar-pakar kita dan bantuan merentas masuk melalui Rafah dan bantu rakyat Palestin,” katanya menjawab soalan tambahan Aminolhuda Hassan (PH-Sri Gading).

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Malaysia ma­hu pelan damai yang sedang berlangsung di Gaza menjadi gencatan senjata kekal sekali gus merintis pembentukan negara Palestin merdeka.

Kata beliau, Malaysia mengalu-alukan inisiatif Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump yang mengusahakan pelan damai itu namun, melihatnya sebagai gencatan senjata yang rapuh.

“Kami memantau dari semasa ke semasa, ada sedikit sinar walaupun samar untuk menu­ju ke arah keamanan, (sebab itu) Malaysia antara segelintir negara seperti Afrika Selatan, Bolivia dan Brazil menyokong gencatan senjata itu dengan syarat tegas,” katanya dalam ucaptama pada Kuala Lumpur Conference On A New Just and Humane International Order 2025 di sini.

Perdana Menteri berkata, walaupun pelan damai itu dialu-alukan namun dunia tidak boleh berpura-pura seolah-olah semuanya telah berakhir dengan baik.

“Tiada rancangan untuk ke­amanan yang menyeluruh, tiada jaminan untuk rakyat Pa­lestin kembali ke tanah mereka dan tiada kenyataan jelas yang menjamin pembentukan sebuah negara Palestin merdeka.

“Kita mesti jujur untuk mengatakan bahawa kita tidak mahu satu lagi pause (gencatan senjata sementara) di antara peperangan. Kita sedang berurusan dengan (Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu) dan kabinetnya, kita tidak (boleh) berpura-pura. Mereka tidak akan menghormati perjanjian itu,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×