KUALA LUMPUR: Sidang kemuncak ASEAN Ke-47 bermula hujung minggu ini bakal mencipta sejarah sebagai mesyuarat terbesar sejak penubuhan blok berkenaan pada Ogos, 1967.
Persidangan kali ini berlangsung ketika dunia berdepan pelbagai konflik seperti penindasan rakyat Palestin oleh Israel, perang Russia-Ukraine, perang ekonomi Amerika Syarikat (AS)-China dan pelaksanaan tarif oleh AS yang memberi tekanan kepada ekonomi global khususnya negara-negara ASEAN.
Justeru, sidang kali ini akan menjadi platform penting untuk mengukuhkan kerjasama antara negara anggota dan rakan dialog, selain menangani cabaran serantau dan global secara menyeluruh dan inklusif.
Di sebalik pelbagai konflik melanda, Malaysia selaku Pengerusi, berjaya menghimpunkan lebih 20 pemimpin dunia.
Ia termasuk Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump; Perdana Menteri China, Li Qiang; Presiden Brazil, Luiz Inacio Lula da Silva; Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa; Presiden Majlis Eropah, Antonio Costa dan Perdana Menteri Jepun, Sane Takaichi. Sementara Perdana Menteri India, Narendra Modi akan menyertai persidangan secara dalam talian.
Trump dijangka tiba di negara ini pagi esok dan dijadual mengadakan mesyuarat dua hala bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim serta menghadiri majlis menandatangani perjanjian semasa Sidang Kemuncak ASEAN dan Sidang Kemuncak Berkaitan.
Duta Besar AS ke Malaysia, Edgard D. Kagan dilaporkan berkata, tarif semikondutor, perdagangan, pelaburan, keselamatan dan kestabilan di rantau ini adalah antara topik yang dijangka dibincangkan semasa lawatan Trump ke Malaysia.
Anwar pula sebelum ini menyatakan antara lain beliau akan membangkitkan isu Palestin dalam pertemuannya dengan pemimpin AS itu.
Presiden AS itu juga dijadual menghadiri majlis menandatangani perjanjian Bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet dan Perdana Menteri Thailand, Anutin Charnvirakul. Perjanjian dipercayai melibatkan perjanjian penyelesaian pertikaian sempadan antara dua negara berjiran itu yang turut diusahakan oleh Malaysia.
Selain pertikaian sempadan Kemboja-Thailand, sidang kemuncak ASEAN dijangka turut memberi tumpuan kepada masalah jenayah rentas sempadan termasuk penipuan dalam talian (scammer) dan demokrasi di Myanmar.
Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, perkara tersebut merupakan antara Konsensus Lima Perkara (5PC) ASEAN Myanmar khususnya berkaitan menghentikan keganasan, peningkatan bantuan kemanusiaan dan usaha ke arah dialog inklusif dengan semua pemegang taruh di negara itu.
Katanya, ASEAN tidak berganjak daripada asas tersebut dan memastikan segala usaha membantu Myanmar serta mengembalikan kestabilan negara itu kepada keadaan biasa berlandaskan 5PC.
“Kandungan konsensus ini sebenarnya tidaklah terlalu rumit antaranya menyeru supaya diadakan dialog, membenarkan bantuan kemanusiaan ASEAN disalurkan, dan mengadakan rundingan dengan semua pihak yang terlibat.
“Berhubung pilihan raya yang telah dirancang oleh Junta Myanmar, meskipun ia tetap akan dilaksanakan, ASEAN mahu memastikan ia berlangsung secara adil, telus dan inklusif dengan penyertaan semua rakyat Myanmar. Kita tidak mahu pilihan raya itu hanya melibatkan sebahagian kecil rakyat, manakala yang lain diketepikan.
“Hal ini akan terus dibincangkan dan dibawa ke Mesyuarat Ketua-Ketua Negara pada lusa (Ahad),” katanya dalam sidang akhbar selepas perundingan tidak formal mengenai Pelaksanaan 5PC bersama delegasi ASEAN di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini, semalam.
Sidang kali ini turut menyaksikan penyertaan aktif Timor-Leste sebagai anggota ke-11 ASEAN yang dijangka dimuktamadkan pada Ahad ini.
Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Seri Amran Mohamed Zin berkata, kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota ASEAN ke-11 merupakan antara dua detik penting Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 sebagai antara kesepaduan ASEAN dalam mengukuhkan kestabilan serantau.
“Kemasukan Timor-Leste sebagai negara anggota baharu ASEAN, satu detik penting yang melambangkan semangat keterangkuman ASEAN bagi menerima sebuah negara yang berkongsi aspirasi serta nilai murni keamanan dan kerjasama.
“Kedua, sambutan ulang tahun ke-20 Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS) menandakan dua dekad dialog strategik dan kerjasama yang telah mengukuhkan kestabilan serantau serta peranan penting ASEAN dalam membentuk sebuah rantau yang aman dan makmur,” katanya dalam Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN (SOM).
Dalam pada itu, selaku tuan rumah, Malaysia telah menyelesaikan 17 daripada 18 Keberhasilan Utama Ekonomi (PED) yang ditetapkan pada tahun ini, manakala bakinya dijangka diselesaikan tidak lama lagi.
Menurut Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, laporan mengenai PED akan dibentang kepada pemimpin ASEAN pada sidang kemuncak Ahad ini.
“Kami telah membincangkan PED dan kami akan menghantar laporan kepada para pemimpin untuk penerimaan dan pengesahan pada mesyuarat pemimpin. Di bawah tonggak ekonomi, kami telah merumuskan banyak petunjuk prestasi utama dan menamakannya keberhasilan utama ekonomi. Kami gembira untuk membentangkannya kepada para pemimpin Ahad ini untuk penerimaan dan pengesahan,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Majlis Komuniti Ekonomi ASEAN (AECC) Ke-26 di KLCC, semalam. – UTUSAN










