Makan malam hidang arak tidak libatkan Tourism Malaysia

Makan malam hidang arak tidak libatkan Tourism Malaysia

TIONG KING SING
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan, majlis makan malam sempena pelancaran Global Travel Meet, baru-baru ini yang melibatkan hidangan arak dianjurkan oleh pihak swasta.

Menurutnya, memang pada awal kementeriannya merupakan penganjur utama majlis tersebut tetapi ada pihak swasta yang kemudiannya menyatakan hasrat untuk mengambil alih penganjurannya.

Katanya, ini kerana pemain industri dan sektor swasta terlibat menyedari boleh memperoleh urus niaga perniagaan yang besar semasa majlis itu.

“Menyedari peluang yang tidak dijangka ini, mereka teruja dan secara sukarela menawarkan diri untuk mengambil alih dan menganjurkan majlis makan malam gala itu sendiri.

“Impaknya, pembeli antarabangsa dan tempatan mula membeli pakej pelancongan dalam kuantiti yang besar dan jumlah keseluruhan transaksi perniagaan mencecah RM420 juta,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau menjawab sindiran bekas menteri, Khairy Jamaluddin terhadap dirinya berhubung hidangan minuman alkohol dalam majlis itu.

King Sing berkata, susulan itu, Tourism Malaysia telah mendapatkan persetujuan daripadanya mengenai perubahan tersebut.

“Sudah tentu saya bersetuju, kerana ia membantu menjimatkan perbelanjaan kerajaan. Saya tidak nampak apa-apa yang salah dengan perkara itu,” ujarnya.

Sementara itu di JOHOR BAHRU, Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun kerajaan menghormati agama dan budaya masyarakat berbilang kaum, penganjuran acara rasmi kerajaan perlu mengambil kira sensitiviti umat Islam sebagai agama Persekutuan.

“Tentunya kita harus menolak dan kita mesti tidak bersetuju dengan program berkenaan.

“Malaysia adalah negara Islam, biarpun kita menghormati agama, budaya dan kelaziman lain-lain agama. Tetapi ini adalah merupakan acara kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Pelancaran Skuad Yayasan Pelajaran Mara (YPM) Peringkat Negeri Johor di Stadium Tertutup Arena Larkin,semalam. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×