PETALING JAYA: Mahkamah Agung Sepanyol menolak rayuan akhir penimbang tara Sulu, Gonzalo Stampa, sekali gus mengekalkan sabitan bersalah terhadapnya.
Keputusan muktamad itu dibuat sebulat suara oleh lima orang hakim Mahkamah Agung Sepanyol pada 8 Oktober lalu, menandakan tamatnya semua prosiding jenayah terhadap Stampa di negara tersebut.
Dengan keputusan itu, hukuman penjara enam bulan serta larangan selama setahun daripada bertindak sebagai penimbang tara yang dijatuhkan oleh Mahkamah Jenayah Madrid pada 22 Disember 2023 kekal berkuat kuasa.
Stampa didapati bersalah atas kesalahan menghina mahkamah berkaitan timbang tara palsu yang melibatkan tuntutan kumpulan mendakwa sebagai waris Kesultanan Sulu terhadap Malaysia.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan Sekretariat Khas Sulu (War Room) bagi pihak Kerajaan Malaysia hari ini, keputusan itu menegaskan prinsip kedaulatan undang-undang dan kepentingan untuk mematuhi perintah mahkamah yang sah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, keputusan itu merupakan satu kejayaan besar dan pengiktirafan terhadap pendirian tegas Malaysia sejak awal berhubung timbang tara Sulu yang disifatkan sebagai penipuan.
“Malaysia mengalu-alukan keputusan bersejarah daripada mahkamah tertinggi Sepanyol sebagai pengesahan muktamad terhadap kedaulatan undang-undang.
“Ia membuktikan tanpa keraguan bahawa timbang tara Sulu adalah hasil tindakan haram dan jenayah seorang penimbang tara yang tidak bertanggungjawab,” katanya.
Azalina berkata, keputusan Mahkamah Agung Sepanyol itu sekali lagi membuktikan bahawa proses timbang tara yang dijalankan oleh Stampa adalah tidak sah dan batal.
Beliau turut memaklumkan bahawa mahkamah di Sepanyol, Perancis dan Belanda kini semuanya telah mengesahkan pendirian Malaysia berhubung kes tersebut.
Kerajaan Malaysia turut merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Jemaah Menteri, Peguam Negara, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang (BHEUU), Majlis Keselamatan Negara (MKN), Sekretariat Khas Sulu serta pasukan peguam antarabangsa Malaysia atas kerjasama dan komitmen berterusan dalam mempertahankan kedaulatan negara.
Kenyataan itu menegaskan bahawa kerajaan kekal komited mempertahankan kedaulatan, kekebalan dan kepentingan negara daripada sebarang tuntutan tidak berasas berkaitan penipuan Sulu tersebut. – UTUSAN









