BANGKOK: Seorang lelaki di Thailand maut selepas rokok elektroniknya meletup ketika sedang memancing, menjadikannya kematian pertama di negara itu yang disahkan berpunca daripada peranti vape.
Mangsa berusia 47 tahun ditemukan tidak bernyawa di Ban Kut Chim, daerah Mueang, wilayah Nong Bua Lamphu pada 18 Oktober, selepas keluar memancing.
Pada mulanya, polis mengesyaki wujud unsur jenayah, namun hasil bedah siasat mendedahkan punca kematian disebabkan oleh letupan bateri rokok elektronik.
Menurut Polis Bandar Nong Bua Lamphu, pegawai forensik menemukan kecederaan serius pada mulut, muka, dada dan tangan kiri mangsa.
Kesan jelaga akibat melecur turut dikesan di dalam mulut dan tangannya. Kecederaan paling teruk dialami pada tangan kiri, di mana daging koyak dan serpihan logam tertanam menunjukkan kesan letupan peranti.
Laporan forensik mengesahkan tiga serpihan logam yang tertanam di dada mangsa merupakan bahagian daripada rokok elektronik yang meletup.
Bateri peranti itu meletup dengan kuat sehingga serpihan logam menembusi paru-paru dan jantungnya, menyebabkan kecederaan dalaman yang membawa maut.
“Tiada kesan tembakan ditemukan, hanya serpihan daripada rokok elektronik. Paru-paru dan jantungnya hancur,” kata laporan itu.
Bedah siasat turut mengesahkan mangsa meninggal dunia serta-merta akibat letupan tersebut, menjadikannya kes kematian pertama di Thailand yang disahkan berpunca daripada letupan rokok elektronik.
Walaupun insiden serupa pernah dilaporkan di luar negara, ini merupakan kes pertama yang disahkan berlaku di Thailand.
Peranti yang terlibat dipercayai menggunakan bateri tidak berkualiti atau diubah suai, punca biasa dalam beberapa kejadian letupan rokok elektronik buatan China di seluruh dunia, lapor Channel 7 News.- AGENSI