Kes hubungan sejenis, tiga pemuda didenda hingga RM8,500

Kes hubungan sejenis, tiga pemuda didenda hingga RM8,500

KETIGA-TIGA tertuduh dibawa keluar dari Mahkamah Tinggi Syariah Melaka selepas dijatuhi hukuman berhubung kes liwat dan cubaan liwat, petang tadi. - UTUSAN/AMRAN ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Tiga pemuda masing-masing dikenakan hukuman denda antara RM4,000 hingga RM8,500 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan melakukan dan cubaan melakukan seks luar tabii pada April dan Julai lalu.

Hakim Kanan Syarie Abu Bakar Mohd. Daud menjatuhkan hukuman itu terhadap Mohammad Fahmi Kamarudin, 26; Muhammad Nabil Junaidi, 24, dan Meor Aliff Isqandar Meor Shaharudin, 21, di Mahkamah Tinggi Syariah Melaka di sini, hari ini.

Mahkamah menjatuhkan penjara antara 24 hingga 30 bulan terhadap ketiga-tiga tertuduh, namun menawarkan untuk hukuman itu ditukarkan kepada perintah menjalani kerja amal selepas meneliti sifat dan latar belakang pesalah.

Berdasarkan keputusan itu, Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil masing-masing diarah menjalani kerja amal selama 10 bulan, manakala Meor Aliff Isqandar selama lapan bulan.

Mereka perlu menjalani kerja-kerja wajib sekurang-kurangnya empat jam sehari sepanjang tempoh ditetapkan dan sekiranya gagal mematuhi arahan atau membayar denda, hukuman penjara asal termasuk penjara enam bulan bagi kegagalan membayar denda boleh dikuatkuasakan.

Mengikut pertuduhan pertama, Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil dengan sengaja melakukan liwat di Kampung Gangsa, Durian Tunggal pada 11 April 2025.

Kedua-duanya didakwa mengikut Seksyen 56 Enakmen Kesalahan Syariah Negeri Melaka 1991 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM5,000 atau penjara sehingga 36 bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan berasingan, kedua-dua tertuduh bersama Meor Aliff Isqandar turut mengaku bersalah atas pertuduhan cuba melakukan liwat secara bertiga di sebuah rumah di Jalan Pengkalan Batu, Bukit Sebukor pada 27 Julai 2025.

Pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 57 enakmen sama yang membawa hukuman serupa.

Mahkamah menetapkan denda RM4,500 dan penjara 30 bulan bagi pertuduhan pertama terhadap Mohammad Fahmi dan Muhammad Nabil serta denda RM4,000 dan penjara 24 bulan bagi pertuduhan kedua melibatkan ketiga-tiga tertuduh dengan hukuman penjara berjalan serentak bermula hari ini.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pendakwa Syarie Negeri Melaka, Radzwan Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Pendakwaan kes seks luar tabii itu adalah yang pertama kali dibicarakan dan dijatuhkan hukuman di Mahkamah Syariah Melaka. – UTUSAN 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN