Lelaki didenda RM5,000, simbah cat merah di salun

Lelaki didenda RM5,000, simbah cat merah di salun

AHMAD Abu Bakar dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru hari ini bagi berdepan pertuduhan menyimbah cat merah di sebuah salun di pusat beli-belah 11 Oktober lalu.-UTUSAN/BAAZLAN IBRAHIM.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Seorang lelaki dikenakan denda sebanyak RM5,000 selepas dia mengaku bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menyimbah cat berwarna merah di sebuah salun dalam sebuah pusat beli-belah di sini, Sabtu lalu.

Tertuduh, Ahmad Abu Bakar, 26 membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, A. Shaarmini.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh bersama seorang lagi yang masih bebas didakwa membaling beg plastik berisi cat berwarna merah ke dalam salun berkenaan pada pukul 11.50 pagi, 11 Oktober lalu.

Atas perbuatan itu, cat berwarna merah itu telah mengenai perabot serta seorang pelanggan yang sedang berada di dalam salun tersebut.

Sehubungan itu, tertuduh didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan. Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Fatihah Mohd. Nizam manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Selain denda, mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Ahad lalu, Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh berkata, salun di pusat beli-belah terkemuka itu mengalami kerugian kira-kira RM15,000 selepas disimbah cat merah.

Menurutnya, pihak polis menerima laporan daripada pekerja premis yang memberitahu ketika sedang bekerja, premis itu didatangi dua lelaki yang membaling beg plastik berisi cat merah sebelum mereka melarikan diri. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN