Lapan pemimpin utama dunia wakili 2.88b penduduk berada di KL

Lapan pemimpin utama dunia wakili 2.88b penduduk berada di KL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kuala Lumpur kini bersedia menerima kehadiran para pemimpin utama dari seluruh dunia yang mewakili ratusan juta penduduk sempena Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 yang akan bermula Ahad ini.

Bertemakan Keterangkuman dan Kemampanan, persidangan kali ini bakal menghimpunkan pemimpin daripada negara anggota ASEAN serta rakan dialog utama bagi membincangkan isu keselamatan serantau, kerjasama ekonomi dan cabaran global yang mendesak.

Sidang kemuncak yang berlangsung di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) itu turut disertai Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump yang mewakili kira-kira 347 juta penduduk dengan ketibaannya dijadualkan pada Ahad ini.

Russia dengan populasi seramai 144 juta penduduk pula akan diwakili oleh Timbalan Perdana Menterinya, Tatyana Golikov, sementara China dengan populasi 1.42 bilion akan diwakili oleh Perdana Menteri, Li Qiang.

Brazil dengan jumlah penduduk 212 juta diwakili oleh Presidennya, Luiz Inacio serta turut hadir Presiden Afrika Selatan, Cyril Ramaphosa (64 juta) dan Perdana Menteri Jepun, Sanae Takaichi (124 juta).

Bagaimanapun, dua lagi negara termasuk New Zealand (5.38 juta) dan Australia (26.8 juta) belum mengesahkan pemimpin yang bakal mewakili negara masing-masing.

Perdana Menteri , Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, aspek kepentingan perdagangan Malaysia dan usaha keamanan global termasuk isu Gaza, antara topik akan dibincangkan secara tertutup dengan Trump dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 itu..

ASEAN ditubuhkan pada 8 Ogos 1967 di Bangkok, Thailand melalui penandatanganan Deklarasi Bangkok oleh lima negara pengasas iaitu Indonesia, Malaysia, Filipina, Singapura dan Thailand.

Penubuhan blok serantau itu bertujuan mempromosi keamanan, kestabilan serta kerjasama di rantau ini, ketika dunia berdepan cabaran pascakolonial dan ketegangan Perang Dingin.

Keanggotaannya kini berkembang kepada 10 negara dengan penyertaan Brunei pada 1984, Vietnam (1995), Laos dan Myanmar (1997) serta Kemboja (1999). Timor-Leste pula diterima secara prinsip sebagai ahli pada 2022 dan kini sedang dalam proses keanggotaan penuh.

Pada masa ini, ASEAN mempunyai gabungan populasi lebih 680 juta orang dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) berjumlah lebih AS$3.6 trilion (2024), menjadikannya ekonomi kelima terbesar di dunia.

Blok itu beroperasi berasaskan prinsip konsensus dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman negara anggota, selain menumpukan kepada tiga tonggak utama iaitu kerjasama politik dan keselamatan, integrasi ekonomi serta pembangunan sosiobudaya di bawah kerangka Komuniti ASEAN sejak 2015. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN