MARAN: Ketika penyanyi dan aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi masih ditahan di penjara Israel, lagu yang dirakam bersama adiknya pada Julai lalu, Mengukir Takdir, berkumandang di corong radio tanah air yang seolah-olah menggambarkan irama ketabahan mengiringi perjuangannya di bumi Gaza.
Heliza bersama adiknya, Hazwani ditahan tentera Zionis ketika menyertai misi kemanusiaan Global Flotilla Sumud ke Gaza, baru-baru ini. Dua minggu pelayaran penuh risiko itu menyaksikan mereka berdepan detik cemas di tengah Laut Mediterranean, apabila kapal misi diserbu dan aktivis ditahan tanpa belas.
“Masya-Allah, semasa kami masih dalam tahanan, rupa-rupanya lagu itu sudah ke udara. Liriknya tentang reda dan ujian dan benar, kami sedang mengalaminya ketika itu,” katanya.
Dua beradik itu berkongsi pengalaman berkenaan dalam Program Malam Untukmu Gaza, anjuran tanggungjawab sosial korporat (CSR) Kedai Emas Sri Semantan di Bandar Tun Abdul Razak Jengka, malam kelmarin.
Program berbentuk townhall itu dihoskan penyanyi terkenal, Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani, yang mencetus suasana penuh keinsafan melalui nyanyian serta perkongsian semangat kemanusiaan.
Mengulas lanjut peristiwa itu, Heliza berkata, antara detik paling menginsafkan adalah apabila seorang sukarelawan bukan Islam dari Eropah bertindak mempertahan maruahnya apabila tudungnya direntap tentera Israel.
“Dia berdiri di hadapan saya dan menjerit supaya mereka menghormati wanita Muslim. Allah hantar pelindung daripada kalangan bukan Islam,” katanya sebak.
Menurut Heliza, beliau menangis dan berunding dengan tentera sebelum dibenarkan berpakaian lengkap kecuali stoking.
“Saya berdoa kuat-kuat, dan akhirnya Allah lembutkan hati mereka,” ujarnya.
Sebagai tanda penghargaan, Heliza dan Hazwani turut diangkat sebagai Duta Syiling Emas Edisi Khas “Untukmu Gaza”, dengan wajah mereka diukir pada 20,000 keping syiling yang diterbitkan awal tahun hadapan sebagai simbol solidariti kemanusiaan dan sokongan kepada rakyat Gaza. – UTUSAN










