Kos haji kekal RM33,300 seorang, subsidi RM210 juta

Kos haji kekal RM33,300 seorang, subsidi RM210 juta

ABDUL RASHID HUSSAIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Tabung Haji (TH) menanggung subsidi sebanyak RM210 juta untuk mengekalkan kos haji RM33,300 bagi jemaah muassasah untuk masim haji 1447H/2026M sama seperti harga musim lalu.

Pengerusi TH, Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, keputusan itu menandakan tahun ketiga berturut-turut kos haji bagi jemaah Muassasah tidak meningkat walaupun berdepan kenaikan persekitaran kos di Tanah Suci.

“Keputusan mengekalkan kadar tersebut menunjukkan keupayaan institusi itu mengurus peningkatan kos di Tanah Suci dengan berkesan sekali gus memastikan beban kewa­ngan bakal jemaah tidak bertambah.

“TH berjaya mengekalkan kos ini hasil pengurusan strategik dan perancangan awal yang teliti termasuk langkah tempahan awal serta kontrak jangka panjang penginapan dan pe­nerbangan bagi mengurangkan kesan inflasi di Mekah dan Madinah,” katanya dalam kenyata­an semalam.

Abdul Rashid berkata, kadar bayaran haji juga dikekalkan untuk semua kumpulan jemaah dengan TH terus menang­gung Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM210 juta bagi membantu mereka yang layak.

“Bagi kumpulan B40, baya­ran Haji ditetapkan RM15,000 seorang dengan bantuan sebanyak RM18,300 termasuk bantuan kerajaan RM1,000.

“Kumpulan M40 pula membayar RM23,500 dengan bantuan RM9,800, manakala kumpulan T20 menanggung bayaran penuh sebanyak RM33,300,” katanya.

Menurut Abdul Rashid, lang­kah mengekalkan kadar itu men­cerminkan komitmen TH untuk memastikan umat Islam di negara ini dapat menunaikan ibadah haji dengan kadar yang berpatutan tanpa menjejaskan tahap perkhidmatan.

“Kami berbangga dengan pencapaian cemerlang mu­sim lalu apabila menerima Diamond Award Labaytum dan akan terus berusaha me­ngekalkan mutu perkhidmatan yang tinggi seperti diharapkan,” katanya.

TH mengekalkan pelaksa­naan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim haji 1447H/2026M selaras dengan konsep kemampuan (istito‘ah) dan dasar Kerajaan Madani dalam membantu golongan yang memerlukan.

Pendekatan bersasar itu diperkenalkan sejak 2022 bagi memastikan bantuan diberikan kepada jemaah yang benar-benar layak selain memelihara kelestarian kewangan institusi haji negara demi kepentingan pendeposit.

Bagi jemaah Muassasah kumpulan B40 yang menerima bantuan kerajaan seperti Sumbangan Tunai Rahmah, kadar Bayaran Haji hanya RM15,000 iaitu 45 peratus daripada kos penuh RM33,300.

Selebihnya, 55 peratus ditanggung melalui Bantuan Kewangan Haji TH seba­nyak RM17,300 serta bantuan Kerajaan Madani sebanyak RM1,000 seorang jemaah.

Sementara itu, jemaah kumpulan M40 turut menerima Bantuan Kewangan Haji seba­nyak RM9,800 seorang, bersamaan 29 peratus daripada kos keseluruhan.

Bagi kumpulan T20 yang berpendapatan sekurang-ku­rangnya RM15,000 sebulan, mereka perlu menanggung bayaran penuh haji sebanyak RM33,300 seorang tanpa bantuan kewangan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Mus­takim Mohamad berkata, TH turut memeterai kontrak pe­nerbangan selama lima tahun bagi memastikan kestabilan kos dan keselesaan jemaah.

“TH telah dapat me­ngekalkan kos haji melalui langkah strategik melibatkan tempahan awal dan kontrak penyewaan jangka panjang bangunan penginapan untuk melindungi jemaah haji daripada kesan inflasi di Makkah dan Madinah.

“Beberapa bangunan penginapan yang baharu dengan kemudahan moden telah dikenalpasti untuk memberi lebih keselesaan kepada jemaah haji,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN