PETALING JAYA: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) akan memperkukuh peranan sebagai peneraju Dasar Inovasi Sosial (DIS) melalui pendekatan bersepadu dan inklusif bagi memperkasa pembangunan komuniti.
Ketua Setiausahanya, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad berkata, pelbagai inisiatif dilakukan termasuk melalui Konvensyen Inovasi Sosial (KIS) 2025 merupakan satu gerakan yang membawa sinar harapan kepada perubahan sosial yang lebih progresif dan mampan.
“KIS 2025 bukan sahaja menjadi ruang pembentangan penyelesaian berinovatif, malah menterjemahkan aspirasi DIS melalui pendedahan projek berimpak, pemadanan kolaborasi, penglibatan komuniti, dan pembudayaan nilai inovasi sosial.
“Berbanding dengan penganjuran sebelum ini, KIS 2025 memperluas penglibatan peserta daripada pelbagai latar belakang, malah memperkenalkan elemen baharu seperti Padanan Perniagaan, Resolusi KIS dan pengukuhan jaringan strategik antara inovator, industri serta agensi kerajaan,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Inovasi Sosial 2025 di sini, hari ini.
Menurutnya, pendekatan tersebut mencerminkan kematangan KIS sebagai platform inovasi sosial nasional yang terus berkembang seiring dengan aspirasi negara menuju kemakmuran dan kelestarian sosial.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Inovasi Malaysia (YIM), Sharmila Mohamed Salleh berkata, YIM akan terus memainkan peranan sebagai agensi pelaksana melalui pelaksanaan program-program di bawah Inisiatif Inovasi Sosial Malaysia (MyIS).
“Melalui MyIS, YIM telah berjaya membina satu ekosistem inovator sosial yang kukuh, dengan lebih 7,400 inovator berdaftar dalam sistem InnoMap sejak tahun 2015.
“Selain menyediakan ruang pameran dan seminar, komuniti berpeluang memanfaatkan peralatan dan teknologi bagi tujuan penciptaan dan penyebaran idea inovatif ke arah merealisasikan idea peringkat sosial menjadi kenyataan,” katanya.
Turut hadir Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan dan Pembudayaan Sains), Ruziah Shafei dan Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM), Afifah Abdul Razak.
KIS 2025 mengangkat tema signifikan “Social Innovation Living Lab: Connect, Collaborate, Creative, Changescape!”, di mana komuniti sendiri diberi peluang untuk mencipta penyelesaian yang bersesuaian dengan keperluan mereka. – UTUSAN










