KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) akan melakukan semakan terhadap perundangan berkaitan sektor penjagaan termasuk akta yang tidak dikemas kini lebih 10 hingga 40 tahun.
Menterinya, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata perkara itu adalah sebahagian daripada lima strategi utama Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026-2030, yang dijangka dilancarkan minggu depan.
Nancy berkata, beberapa akta sedia ada sudah lama dan perlu diberi nafas baharu supaya selari dengan perkembangan semasa, khususnya bagi menghadapi cabaran negara menua.
Menurut beliau, antara akta berkenaan ialah Akta Taman Asuhan Kanak-Kanak 1984 (Akta 308); Akta Pusat Jagaan 1993 (Akta 506); Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) dan Akta Orang Kurang Upaya 2008 (Akta 685).
Menurutnya, semakan ini adalah sebahagian daripada lima strategi utama termasuk pengukuhan perundangan dan tatakelola, pembangunan kompetensi dan laluan kerjaya, advokasi, kolaborasi strategik serta penyelidikan, teknologi dan penggunaan data.
Menjawab soalan Mohamad Shafizan Kepli (GPS–Batang Lupar) mengenai hala tuju ekonomi penjagaan inklusif, Nancy berkata, kerangka strategik itu meliputi penjagaan warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya (OKU).
“Dokumen ini dibangunkan melalui pendekatan whole of nation melibatkan kerjasama agensi kerajaan, sektor swasta, institusi pengajian tinggi, pemain industri dan pakar bidang penjagaan.
“Insya-Allah, kerangka strategik ini akan dilancarkan semasa The New Frontiers in The Care Economy Conference peringkat ASEAN pada 4 dan 5 November ini,” katanya. – UTUSAN











