Keperluan Sabah sentiasadiberi keutamaan – Anwar

Keperluan Sabah sentiasa diberi keutamaan – Anwar

ANWAR IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan Per­­se­kutuan sentiasa memberi ke­u­tamaan kepada segala keper­luan terhadap Sabah sebagai­mana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ini termasuk peningkatan peruntukan kepada Sabah daripada RM26.7 juta kepada RM17 bilion bagi tahun 2025 dan 2026.

Selain itu, sebanyak 13 tuntutan di bawah MA63 telah dise­lesaikan antaranya penyerahan kuasa kawal selia elektrik dan Sabah Electricity Sdn. Bhd. kepada kerajaan Sabah dengan menyediakan RM1.2 bilion.

“Kerajaan Persekutuan me­ngam­bil maklum keputusan Mah­­kamah Tinggi di Kota Kinabalu 17 Oktober 2025 berhubung Kajian Semula Pemberian Khas Persekutuan kepada Sabah.

“Kerajaan Madani menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan pengha­kiman Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu setelah diterima ke­lak, sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan Sabah dan Malaysia seluruhnya.

“Keputusan ini mengundang tafsiran yang mengelirukan seolah-olah bahawa kononnya Kerajaan Persekutan hanya menyedut hasil Sabah dan tidak menyumbang kepada pembangunan Sabah,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan isu pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat semalam.

Walaupun menghormati proses perundangan, beliau menyangkal tohmahan dengan menerangkan kerangka besar berhubung komitmen Kerajaan Madani kepada pembangunan Sabah.

Anwar berkata, Kerajaan Madani telah sedaya upaya menyelesaikan segala tuntutan MA63 yang tertunggak, meningkatkan kadar Pemberian Khas kepada Sabah dan menambah peruntukan mengurus dan pembangunan setiap tahun untuk kesejahteraan Sabah.

“Komitmen ini adalah berterusan supaya segala obligasi Kerajaan Persekutuan kepada Sabah di bawah Perlembagaan Persekutuan dapat dipenuhi selain menambah baik Pemberian Khas Sabah sesuai dengan keperluan perkhidmatan Kerajaan Sabah dan kemampuan fiskal Kerajaan Persekutuan.

“Inilah tekad Kerajaan Madani dan sepertimana janji-janji lain, ia akan direalisasikan,” katanya ketika menyampaikan sesi penerangan khas Perdana Menteri berkaitan isu pemberian khas Sabah di Dewan Rakyat semalam.

Menurut Anwar lagi, Pemberian Khas kepada Sabah telah pegun pada kadar RM26.7 juta ringgit sehinggalah tahun 2021.

Pada tahun 2019, tambahnya, kerajaan Sabah telah bersetuju dengan cadangan meningkatkan Pemberian Khas Sabah daripada RM26.7 juta ringgit kepada RM53.4 juta ringgit.

Katanya, kajian semula dibuat pada tahun 2022 dan persetujuan bersama antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah pada masa itu dicapai untuk menaikkan kadar Pemberian Khas kepada RM125.6 juta ringgit.

“Di bawah Kerajaan Madani, kajian semula Pemberian Khas juga dilaksanakan pada tahun 2023 dan kita mencapai persetujuan bersama untuk menggandakan kadar Pemberian Khas kepada RM300 juta ringgit.

“Pada tahun 2025, Kerajaan Persekutuan sekali lagi melaksanakan kajian semula dan mencapai persetujuan dengan kerajaan Sabah untuk menaikkan sekali ganda lagi kadar Pemberian Khas kepada RM600 juta ringgit,” katanya.

Beliau berkata, pembayaran keseluruhan Pemberian Khas RM600 juta telah disempurnakan pada 10 September lalu kepada Kerajaan Sabah.

Katanya, kadar Pemberian Khas yang dinaikkan kepada RM600 juta adalah bersifat interim, sementara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah sedang merumuskan kaedah baharu yang menentukan perkiraan Pemberian Khas pada masa depan.

Mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berkaitan 40 peratus hasil Persekutuan kepada Sabah, Anwar berkata, Kerajaan Madani menghormati proses perundangan dan akan meneliti alasan penghakiman penuh sebelum sebarang tindakan lanjut dilaksanakan atas nasihat Peguam Negara demi kebaikan serta kepentingan semua.

“Kerajaan Persekutuan mengambil keputusan ini dengan serius. Namun, kajian ini akan dilaksanakan selepas pilihan raya negeri (PRN) Sabah yang bakal diadakan,” katanya.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu memerintahkan kerajaan Persekutuan untuk membuat semakan semula bersama kerajaan Sabah berhubung kelayakan hasil 40 peratus yang sepatutnya diberi kepada Sabah mengikut perlembagaan.

Perintah itu selepas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Celestina Stuel Galid membenarkan semakan kehakiman difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) berkaitan hak perlembagaan Sabah untuk menuntut 40 peratus hasil bersih dikutip kerajaan Persekutuan dari negeri ini.Semakan kehakiman itu difailkan Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) pada 2022. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN