KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, mendedahkan beliau pernah menegur Tan Sri Muhyiddin Yassin secara dalaman susulan kekalahan besar Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.
Katanya, teguran itu dibuat dalam mesyuarat parti selepas mendapati pendekatan kempen yang digunakan ketika itu terlalu tertumpu kepada imej peribadi Muhyiddin dan tidak sesuai dengan sentimen pengundi.
“Saya pernah cakap dalam mesyuarat Armada bahawa Abah (Muhyiddin) sudah tidak lagi relevan, tetapi saya sebut secara dalaman, bukan di luar.
“Kalau tengok keputusan PRN Johor dan Melaka, jelas Abah gagal pimpin kemenangan. Kempen kita juga silap sebab hanya berpusat pada individu,” katanya pada sidang akhbar di Parlimen, hari ini.
Menurutnya, perbandingan sering dibuat antara Muhyiddin dan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang berjaya mengekalkan pengaruh politik walaupun tidak lagi berkuasa.
“Najib ada jenama politik sendiri sebagai ‘Bossku’. Dia ada legasi 10 tahun yang boleh dijual kepada rakyat. Tapi Abah? Urus Covid-19 pun orang tidak yakin.
“Sebab itu saya pesan kepada jentera supaya jangan guna slogan Abah ketika berkempen. Ia tidak berkesan,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada kenyataan bekas Ketua Setiausaha Sulit Muhyiddin, Datuk Dr. Marzuki Mohamad, yang mendakwa wujud gerakan dalaman menjatuhkan Muhyiddin sejak beliau meletak jawatan sebagai Perdana Menteri pada 2021.
“Marzuki boleh buat analisis, tetapi saya orang politik. Bila saya bercakap benar, dia tak selesa. Tetapi saya tidak pernah hina Abah di luar malah saya pertahankan beliau sewaktu berdepan pendakwaan di mahkamah,” katanya.
Sementara itu, Wan Ahmad Fayhsal turut mendakwa beberapa pemimpin kanan Bersatu tidak senang dengan Datuk Seri Hamzah Zainudin termasuk Naib Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Setiausaha Agung, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.
Katanya, kedua-dua tokoh berkenaan didakwa antara yang mempengaruhi keputusan Muhyiddin mengambil tindakan terhadap ahli parti yang cenderung menyokong Hamzah.
Sementara itu, Wab Ahmad Fahysal berkata, beliau tidak berhasrat meninggalkan parti itu walaupun berdepan tindakan disiplin.
“Saya tidak akan sertai parti lain. Fokus saya sekarang ialah untuk perbetulkaN Bersatu.. Insya-Allah, Allah akan bantu kami sebab kami tak buat salah,” katanya.
Mengulas dakwaan kononnya beberapa Ahli Parlimen Bersatu mahu menghantar memorandum mendesak Muhyiddin meletak jawatan, beliau berkata tidak tahu menahu mengenai perkara itu.
“Saya tidak tahu, saya pun tidak tandatangan apa-apa memorandum,” katanya. – UTUSAN










