TOKYO: Japan Airlines (JAL) akan menggantung juruterbang yang didapati mempunyai masalah fungsi hati melebihi tahap ditetapkan, sebagai sebahagian langkah keselamatan baharu.
Langkah itu diumumkan selepas insiden melibatkan juruterbang minum alkohol sehingga menjejaskan penerbangan antarabangsa.
Dalam kejadian pada Ogos lalu, seorang juruterbang tidak dapat mengendalikan penerbangan dari Hawaii ke Jepun selepas mengambil alkohol, menyebabkan kelewatan jadual perjalanan.
Susulan itu, Kementerian Pengangkutan menegur JAL dan mengarahkan syarikat penerbangan itu melaporkan langkah pencegahan bagi memastikan insiden sama tidak berulang.
Enam juruterbang digantung daripada membawa pesawat, menurut JAL.
Syarikat penerbangan itu sebelum ini berdepan beberapa insiden juruterbang minum alkohol, dengan kejadian terbaharu berlaku meskipun pelbagai usaha dilakukan untuk mengekang masalah tersebut.
JAL turut mengakui langkah yang diambil setakat ini bagi menghalang masalah tersebut masih belum berkesan, termasuk kesilapan melaksanakan peraturan lebih ketat terhadap pekerja secara sepihak tanpa rundingan sewajarnya.
Dalam laporan yang dikeluarkan semalam, JAL memaklumkan ia akan menubuhkan rangka kerja perundingan bersama kesatuan pekerja bagi membincangkan langkah terbaik melaksanakan usaha pencegahan berkesan.
Pada peringkat awal, pihak pengurusan bercadang untuk mewajibkan juruterbang menandatangani ikrar bertulis bagi mengelakkan masalah berkaitan alkohol.
Namun, cadangan itu mendapat tentangan dalaman, menurut sumber yang mengetahui perkara tersebut.- AGENSI










