KUALA NERUS: Program Jualan Bonet Kereta (CBS) anjuran Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), di sini bukan sekadar menceriakan suasana kampus malah memberi peluang keemasan kepada peniaga kecil menjana pendapatan tambahan dengan kos minimum.
Program itu berlangsung setiap Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari di pekarangan parkir Masjid Unisza dengan kadar sewaan tapak hanya RM10 sehari.
Malah konsep terbuka itu menjadi daya tarikan kepada usahawan kecil tempatan termasuk suri rumah dan peniaga dalam talian.
Bagi Ana Shahida Mat Rani, 31, dari Kampung Manir, di sini, peluang berniaga di CBS Unisza sangat membantu dalam memperkenal tudung jualannya secara lebih meluas selepas tiga tahun berniaga dari rumah dan dalam talian.
“Sewa tapak sangat mampu milik, cuma RM10 sehari. Siapa cepat, dia dapat tempat. Sambutan daripada pelajar dan orang luar pun sangat menggalakkan. Saya rasa sangat berbaloi,” katanya ketika ditemui di sini.
Dia turut melihat CBS sebagai platform yang mesra usahawan kecil terutama kepada mereka yang tidak mampu menyewa premis perniagaan tetap.
Seorang lagi peniaga muda, Amelia Sugio, 25, dari Rusila, Marang, yang menjual risoles mengakui kelebihan menyertai CBS setelah setahun menjalankan perniagaan secara penghantaran tunai (COD).
“Saya baru sebulan sertai CBS UniSZA. Sebelum ini saya hanya buat COD tetapi di sini saya dapat berjumpa terus dengan pelanggan. Dapat beri sampel rasa dan ramai yang terus beli,” katanya.
Sementara itu, Pengasas CBS UniSZA, Shaikh Faisal Shaikh Mahathir berkata, penyertaan orang awam menjadikan jualan mingguan itu dinanti-nantikan bukan sahaja oleh peniaga, malah pelajar dan warga kampus yang ingin mendapatkan pelbagai produk pada harga berpatutan.
“Antara barangan yang dijual adalah pakaian, makanan, minuman, aksesori dan produk kecantikan. Pada peringkat awal dilaksanakan, kami hanya ada 40 vendor berbanding sekarang antara 100 hingga 130 vendor,” katanya.-UTUSAN.










