JPJ sita GTR milik ahli perniagaan - Utusan Malaysia

JPJ sita GTR milik ahli perniagaan

NORAINI Mohd Nawi (dua dari kiri) meninjau salah sebuah kereta mewah yang disita di Ibu Pejabat JPJ negeri, Jejawi, Arau, Perlis. -UTUSAN/ASYRAF MUHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Kereta mewah jenis Nissan GTR Black Edition milik seorang ahli perniagaan antara disita Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menerusi Ops Luxury di Jalan Padang Besar-Chuping, semalam.

Secara keseluruhan, JPJ negeri telah menyita sebanyak 80 kenderaan termasuk tujuh kereta mewah atas pelbagai kesalahan bagi tempoh bermula dari 1 Januari sehingga kini.

Pengarah JPJ negeri, Noraini Mohd Nawi berkata, dalam operasi itu, pemilik kenderaan bernilai sekitar RM350,000 itu didapati melakukan kesalahan Lesen Kenderaan Motor (LKM) tamat tempoh dan tiada perlindungan insurans.

“Menerusi semakan, LKM kereta milik ahli perniagaan itu didapati telah tamat tempoh sejak bulan Mei lalu dan dia turut memberi alasan terlupa untuk memperbaharuinya.

“Semakan juga mendapati kadar cukai jalan bagi Nissan GTR itu adalah RM5725.50 setahun,” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat JPJ, di sini, hari ini.

Noraini berkata, kesalahan yang paling banyak dikesan dilakukan kebanyakan pengguna jalan raya sepanjang operasi penguatkuasaan itu adalah seperti tiada lesen memandu, LKM dan perlindungan insurans.

Katanya, berdasarkan semakan, JPJ negeri turut melepaskan sebanyak 49 buah kenderaan untuk tahun ini.

“Antara kenderaan yang disita sebelum ini adalah seperti motosikal (32 buah), motokar (33 buah), pick-up (tiga buah), van (tiga buah), motolori (tujuh buah) dan lain-lain kenderaan (dua buah),” katanya.

Dalam pada itu, Noraini berkata, bagi tempoh bermula 1 sehingga 5 Oktober lalu, JPJ negeri telah mengeluarkan Notis 114 kepada 60 buah kenderaan perdagangan bagi kes tiada Slip Pengesahan Kefungsian Speed Limitation Device (SLD).

Beliau turut menyeru kepada semua pemilik kenderaan termasuk kenderaan mewah agar sentiasa memastikan dokumen kenderaan mereka dikemas kini dan tidak menunggu hingga dikenakan tindakan penguatkuasaan.

“Penguatkuasaan terhadap kenderaan mewah yang melakukan pelbagai kesalahan ini boleh dilakukan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta333) dan Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN