SEREMBAN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) mengarahkan kesemua masjid dan surau Jumaat seluruh negeri ini untuk melaksanakan solat hajat selepas Solat Jumaat dan bacaan Qunut Nazilah dalam solat fardu mengikut kesesuaian masa di lokasi masing-masing.
Pengarah JHEAINS, Mohd. Asri Abdullah berkata, pelaksanaan berkenaan bagi mendoakan keselamatan dan kesejahteraan semua anak-anak kapal khususnya 34 orang rakyat Malaysia yang ditahan pihak Israel dalam misi Global Sumud Flotilla ke Gaza.
“Seperti yang telah sedia maklum, kapal-kapal yang membawa aktivis kemanusiaan ini telah ditahan oleh pihak keselamatan Israel tanpa sebab yang munasabah.
“Sehubungan itu, jabatan ini telah mengeluarkan surat arahan pelaksanaan solat hajat di semua masjid dan surau Jumaat seluruh Negeri Sembilan pada 3 Oktober selepas Solat Jumaat dan bacaan Qunut Nazilah,” katanya kepada pemberita hari ini.
Dalam pada itu, Mohd. Asri menyatakan JHEIANS mendoakan agar semua pihak yang terlibat diberikan kekuatan dan keteguhan dalam mendepani musibah tersebut.
“Jabatan ini juga akan terus bersolidariti dalam memastikan hak dan kemanusiaan rakyat Palestin terus terbela. Semoga Allah SWT menjauhkan kita dari semua mara bahaya,” katanya.-UTUSAN.











