Jauhi bentuk salah guna kuasa - Raja Muda Perlis - Utusan Malaysia

Jauhi bentuk salah guna kuasa – Raja Muda Perlis

TUANKU Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada majlis perasmian Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis Tahun 2025 di Kangar, Perlis.-UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan para penolong pendaftar nikah, cerai dan rujuk (NCR) supaya menjauhi sebarang bentuk salah guna kuasa serta berperanan sebagai penasihat komuniti yang dihormati dan diyakini masyarakat.

Baginda menegaskan bahawa para penolong pendaftar NCR perlu sentiasa memperkukuh nilai integriti, profesionalisme dan kecekapan, khususnya dalam penguasaan teknologi semasa bagi memastikan urusan pentadbiran perkahwinan Islam dilaksanakan dengan lebih efisien dan berhemah.

Titah baginda, tugas yang digalas oleh para penolong pendaftar bukan sekadar melafazkan akad nikah semata-mata, bahkan merupakan amanah besar yang menyentuh aspek pemeliharaan institusi kekeluargaan Islam, penjagaan keturunan (nasab) serta memastikan kestabilan sosial dalam masyarakat.

“Dengan komitmen yang tinggi serta amanah yang dijunjung, peranan penolong pendaftar NCR akan terus menyinar bukan sahaja di Perlis, malah menjadi contoh teladan kepada tempat-tempat lain dalam memperkukuh institusi kekeluargaan Islam”, titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan berangkat menyempurnakan perasmian Majlis Muzakarah Penolong Pendaftar Perkahwinan Orang Islam Negeri Perlis 2025 di Dewan Warisan di sini.

Keberangkatan tiba baginda disambut oleh Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Maizura Shamsuddin: Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd Asri Zainul Abidin dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Mohd Nazim Mohd Noor.

Dalam majlis yang dianjurkan oleh JAIPs dengan kerjasama MAIPs dan Jabatan Mufti Perlis itu, baginda turut berkenan menyempurnakan pengurniaan sijil pelantikan Penolong Pendaftar Perkahwinan kepada 36 individu yang dilantik mewakili seluruh kariah di Perlis.

Majlis itu turut diserikan dengan beberapa sesi perkongsian ilmu.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN