Isteri harap suami pulang sebelum anak lahir

Isteri harap suami pulang sebelum anak lahir

NURUL Husna Abd. Hamid (kiri) dan Sariah Ismail tidak sabar menantikan kepulangan Mohamad Basri ke Kampung Temin di Jerantut, Pahang. – UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Isteri kepada Mohamad Basri Ibrahim, 49, yang kini dirawat di sebuah hospital swasta di bandar Ho Chi Minh, Vietnam akibat pendarahan otak berharap suaminya itu segera sembuh dan pulang bagi menyambut kelahiran anak pertama mereka, tidak lama lagi.

Pasangan tersebut mendirikan rumah tangga selama 15 tahun dan bakal menimang cahaya mata sulung selepas sekian lama menanti.

Nurul Husna Abd. Hamid, 36, berkata, dia berharap suaminya kembali pulih dan dapat mendengar tangisan anak pertama mereka nanti.

“Inilah hasrat saya yang sentiasa menunaikan solat sunat tahajud dan berkali-kali berdoa setiap hari supaya dia kembali dengan selamat walaupun keadaan penyakit tidak tahu bila akan pulih,” katanya kepada Utusan Malaysia di Kampung Temin di sini.

Nurul Husna yang hamil enam bulan berkata, suaminya koma hampir sebulan di Vietnam dan difahamkan boleh dibawa pulang menaiki pesawat Vietnam Airlines pada 14 Oktober ini.

Katanya, surat pengesahan sudah diperoleh dan cuma menunggu jadual penerbangan untuk pulang bersama kakak dan sepupunya yang menjaga suaminya sejak dimasukkan ke hospital berkenaan pada 17 September lalu.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, Mohamad Basri ditimpa penyakit itu setelah rebah dan mengalami muntah selepas melawat bandar Ho Chi Minh ketika melancong ke negara ber­kenaan bersama 25 ahli keluarga pada 15 September lalu.

Setelah dimasukkan ke sebuah hospital dan menjalani rawatan susulan serta fisioterapi, mangsa dilaporkan mula sedar dan me­nunjukkan perubahan positif bagi membolehkannya dibawa pulang ke tanah air.

Ibu Mohamad Basri, Sariah Ismail, 84, berkata, dia tidak sabar menanti kepulangan anaknya yang hampir sebulan tidak bersua dan hanya mendengar khabar be­rita daripada Norainun.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×