Israel jadikan Hamas alasan untuk langgar gencatan senjata

Israel jadikan Hamas alasan untuk langgar gencatan senjata

ORANG ramai berlari menyelamatkan diri selepas serangan Israel menyasarkan sebuah bangunan di kem Bureij, di tengah Gaza, pada Ahad lalu.- AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GAZA: Israel terus melancarkan serangan udara dan tembakan di Gaza, mencetuskan kebimbangan mengenai masa depan gencatan senjata ketika Amerika Syarikat (AS) meningkatkan usaha diplomasi untuk memulihkan perjanjian itu.

Agensi Pertahanan Awam Palestin melaporkan, empat orang terbunuh dalam dua serangan berasingan, ketika penduduk kembali untuk memeriksa rumah masing-masing di kawasan al-Shaaf, kejiranan Tuffah, di timur Gaza City.

Tentera Israel mendakwa menembak individu yang melanggar ‘garisan kuning’ sempadan dan menghampiri pasukannya di kejiranan Shujayea, bersebelahan Tuffah, kononnya dianggap menimbulkan ancaman terhadap anggota rejim.

Garisan kuning, yang ditunjukkan dalam peta oleh Presiden AS, Donald Trump pada 4 Oktober, adalah sempadan di mana tentera Israel menarik diri tetapi tetap berada di kawasan tertentu mengikut perjanjian gencatan senjata dengan Hamas.

Bagaimanapun, kebanyakan penduduk Gaza City keliru dengan kedudukan lokasi ‘garisan maut’ itu akibat tiada tanda persempadanan yang jelas.

“Keseluruhan kawasan ini musnah. Kami lihat peta tetapi tidak dapat mengenal pasti garisan yang ditetapkan,” kata penduduk Tuffah, Samir, 50.

Beberapa insiden keganasan berlaku sejak gencatan senjata rapuh yang dikendalikan AS bermula pada 10 Oktober, dengan hampir 100 rakyat Palestin terbunuh setakat ini, menurut pihak berkuasa Gaza.

PELANGGARAN TERANG-TERANGAN

Dengan jumlah kematian yang semakin meningkat, Israel dan Hamas saling menuduh antara satu sama lain melanggar terma gencatan senjata berkenaan.

Serangan udara Israel pada Ahad mengorbankan 42 orang, termasuk kanak-kanak, namun rejim pula mendakwa ia tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata Hamas yang dituduh menembak dua tenteranya di Rafah.

Hamas menafikan sebarang penglibatan dalam insiden itu, dan menuduh Israel sengaja menggunakan alasan tersebut untuk menyambung semula perang.

Walaupun Israel beberapa kali mencabul perjanjian, Hamas menepati janjinya membebaskan 20 baki tebusan yang masih hidup dan masih berusaha memulangkan mayat tawanan di Gaza meskipun berdepan cabaran akibat kesan kemusnahan meluas.

Bagaimanapun, kelewatan tersebut seolah-olah sengaja dijadikan alasan untuk Israel mengugut menghentikan penghantaran bantuan kemanusiaan.

Jurucakap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Stephane Dujarric, mengesahkan penghantaran bantuan ke wilayah itu disambung, namun tidak menyatakan jumlah yang dihantar.

Wartawan Al Jazeera di Gaza, Tareq Abu Azzoum melaporkan, Israel masih menghalang kemasukan bantuan ke Gaza pada Isnin.

Bahkan, serangan Israel di bahagian timur Khan Younis pada Isnin, membangkitkan kebimbangan dalam kalangan rakyat Palestin mengenai gencatan senjata mungkin tidak bertahan.

Ketua Agensi PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), Philippe Lazzarini, menggesa supaya siasatan dijalankan terhadap pelanggaran terang-terangan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.

“Gencatan senjata yang rapuh di Gaza mesti dipatuhi,” katanya dalam kenyataan di platform X.

USAHA MENYELAMAT PERJANJIAN

Di tengah keganasan yang berterusan, utusan khas AS untuk Asia Barat, Steve Witkoff dan menantu Trump, Jared Kushner, mengunjungi Israel untuk mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Benjamin Netanyahu.

Naib Presiden AS, JD Vance dan isterinya, Usha Vance, juga tiba di Israel pada Selasa untuk bertemu pemimpin ekstremis itu.

Peringkat seterusnya gencatan senjata dijangka memberi tumpuan kepada pelucutan senjata Hamas, pengunduran Israel dari kawasan tambahan di Gaza, serta pentadbiran masa depan wilayah itu di bawah ‘lembaga keamanan’ yang disokong antarabangsa.

Pada masa sama, Mesir menjadi tuan rumah rundingan di Kaherah dengan pegawai kanan Hamas, Khalil al-Hayya pada Isnin, mengenai langkah susulan pelaksanaan gencatan senjata.

Hamas dan puak sekutu lain menolak idea pentadbiran asing di Gaza seperti dicadangkan Trump, selain menegaskan komitmen untuk tidak melucutkan senjata.

Apabila ditanya mengenai pematuhan gencatan senjata, Trump dilihat hanya menuding jari kepada Hamas dan mendakwa berlaku ‘pemberontakan’ dalam kepimpinan yang perlu diselesaikan oleh kumpulan itu.

“Mereka mesti berkelakuan baik dan jika tidak, mereka akan dihapuskan,” kata Trump, namun menegaskan tindakan itu tidak akan melibatkan tentera AS.

Netanyahu pula secara terbuka mengaku melanggar perjanjian gencatan senjata apabila mendakwa tenteranya melancarkan153 tan bom ke Gaza.

“Semasa gencatan senjata, dua tentera terbunuh… Kami menyerang mereka dengan 153 tan bom dan menyerang puluhan sasaran di seluruh Gaza,” katanya semasa sesi pembukaan Knesset, Ahad lalu.

Pejabat media kerajaan Gaza melaporkan 80 pelanggaran gencatan senjata oleh Israel sejak perjanjian itu berkuat kuasa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN