BAGHDAD: Iraq mengumumkan larangan terhadap platform permainan video buatan Amerika Syarikat (AS) Roblox, atas alasan keselamatan kanak-kanak dan kebimbangan terhadap risiko eksploitasi dalam talian, menurut kenyataan kerajaan pada Ahad.
Kerajaan Iraq berkata, keputusan itu dibuat selepas timbul kebimbangan permainan berasaskan pengguna tersebut membenarkan komunikasi terus antara pemain dengan cara yang boleh mendedahkan kanak-kanak serta remaja kepada cubaan eksploitasi atau pemerasan siber.
Selain itu, kandungan dalam platform berkenaan turut dianggap tidak selaras dengan nilai dan tradisi sosial negara itu.
Syarikat Roblox Corp, yang membangunkan sistem penciptaan permainan dalam talian serta platform kandungan yang dijana pengguna, belum memberikan sebarang maklum balas terhadap permintaan komen daripada Reuters berhubung larangan tersebut.
Bagaimanapun, syarikat itu sebelum ini pernah menyatakan mereka menghormati undang-undang dan peraturan di negara tempat mereka beroperasi serta berkongsi komitmen pembuat dasar tempatan terhadap keselamatan kanak-kanak.
Kementerian Komunikasi Iraq memaklumkan larangan menyeluruh itu dibuat selepas kajian komprehensif dan pemantauan lapangan yang mendapati platform tersebut melibatkan beberapa risiko keselamatan, sosial dan tingkah laku.
Langkah itu menempatkan Iraq sebaris dengan beberapa negara Asia Barat lain yang memperketat kawalan terhadap permainan dalam talian dan platform interaktif atas alasan keselamatan kanak-kanak serta kebimbangan moral.
Sebelum ini, Turki turut menyekat akses kepada Roblox pada Ogos 2024, dengan alasan yang sama iaitu risiko terhadap kes penderaan kanak-kanak.- AGENSI