Inisiatif pendidikan percuma bukti keprihatinan kerajaan - Utusan Malaysia

Inisiatif pendidikan percuma bukti keprihatinan kerajaan

INISIATIF pendidikan percuma melalui PTPTN disambut baik banyak pihak khususnya pelajar sebagai usaha menyeluruh membasmi kemiskinan dan memastikan akses pendidikan tinggi yang adil untuk semua lapisan rakyat di Unimap, Arau, Perlis semalam.-UTUSAN/IZLIZAN OTHMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ARAU: Inisiatif pendidikan percuma melalui Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membuktikan keprihatinan kerajaan dalam menjadikan pendidikan sebagai wadah mobiliti sosial yang mampu mengubah kehidupan rakyat, khususnya golongan B40.

Naib Canselor Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Datuk Prof. Dr. Zaliman Sauli berkata, ia juga disifatkan amat signifikan dan selaras dengan hasrat kerajaan untuk memastikan akses pendidikan tinggi yang lebih inklusif, saksama dan berteraskan kesejahteraan rakyat.

Katanya, pemberian pendidikan percuma kepada pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) daripada keluarga berpendapatan rendah mulai tahun hadapan sangat membantu golongan itu.

“Di Unimap sendiri, hampir 70 peratus daripada keseluruhan pelajar terdiri daripada golongan B40 dan pengumuman ini pastinya memberi impak besar dalam meringankan beban kewangan keluarga golongan itu.

“Ia turut membuka lebih banyak peluang kepada anak muda untuk meneruskan pengajian tanpa halangan ekonomi,” katanya di sini semalam.

Melalui pembentangan Belanjawan 2026 di Dewan Rakyat, kerajaan memperkenalkan inisiatif pendidikan percuma melalui PTPTN sebagai usaha menyeluruh membasmi kemiskinan dan memastikan akses pendidikan tinggi yang adil untuk semua lapisan rakyat.

Menurut Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim, program tersebut melibatkan peruntukan RM120 juta setahun serta memberi manfaat kepada 5,800 anak-anak daripada keluarga miskin yang mengikuti pengajian di IPTA seluruh negara.

Zaliman berkata, beliau yakin peruntukan RM120 juta itu akan dimanfaatkan secara optimum demi melahirkan graduan berkualiti dan berdaya saing untuk masa depan negara.

Katanya, Unimap sebelum ini, turut melaksanakan pelbagai inisiatif kebajikan pelajar seperti program ziarah kasih, tabung prihatin pelajar, bantuan makanan asasi dan program dapur siswa Unimap bagi membantu pelajar yang berdepan kesukaran kewangan.

“Melalui program-program ini, Unimap bukan sahaja menyantuni keperluan asas pelajar yang tidak berkemampuan tetapi turut memastikan tiada pelajar tercicir akibat kesempitan hidup.

“Unimap sentiasa komited untuk menyokong pelaksanaan dasar pendidikan percuma ini secara menyeluruh termasuk melalui penyelarasan data sosio ekonomi pelajar, kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), PTPTN dan agensi berkaitan serta pengukuhan inisiatif dalaman bagi membantu pelajar berkeperluan,” katanya.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN