KLANG: Jangkitan influenza A di negara ini mengorbankan tiga kanak-kanak setakat ini.
Kes terbaharu melibatkan seorang murid lelaki Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) Sekolah Kebangsaan (SK) Meru di sini, meninggal dunia dipercayai akibat jangkitan influenza A semalam.
Allahyarham Muhammad Syeikhu Azrin, 8, disahkan meninggal dunia kira-kira pukul 4.30 pagi.
Sebelum ini, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan kematian dua kanak-kanak, seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun di Samarahan dan seorang lagi berusia 11 tahun di Terengganu disahkan positif virus berkenaan.
Ketua Polis Daerah Klang Utara, Asisten Komisioner S. Vijaya Rao berkata, siasatan awal pihaknya mendapati, mangsa disahkan dijangkiti Influenza A, malah seluruh ahli keluarga kanak-kanak itu turut didapati positif wabak berkenaan.
“Polis menerima laporan mengenai kematian seorang kanak-kanak lelaki di kawasan Meru pada awal pagi. Kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR),” katanya kepada pemberita, semalam.
Tambah Vijaya, pasukan kesihatan telah mengambil langkah pencegahan termasuk pemeriksaan dan pemantauan bagi mengawal penularan jangkitan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, pakar berkata, vaksinasi merupakan cara paling berkesan untuk mencegah influenza walaupun langkah itu tidak dapat menjamin imuniti sepenuhnya tetapi dapat mengurangkan risiko penyakit teruk dan kematian secara signifikan.
Pakar perunding perubatan dalaman di Hospital Pakar CMH, Dr. Lim Teng Wei berkata, ini kerana virus influenza sering mengalami mutasi strain, sekali gus keberkesanan vaksin lama terhadap strain baharu semakin menurun.
“Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) setiap tahun meramalkan strain di seluruh dunia dan mengemas kini formula vaksin. Oleh itu, disarankan agar orang ramai mengambil vaksin setiap tahun untuk mengekalkan tahap antibodi.
“Untuk sesiapa yang berumur enam bulan ke atas, vaksin influenza boleh diberikan. Manakala pesakit influenza hanya boleh divaksin selepas pulih sepenuhnya.
“Kanak-kanak, warga emas, dan mereka yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, hipertensi, masalah pernafasan atau asma mungkin berisiko tinggi mengalami penyakit teruk serta vaksinasi setiap tahun adalah benteng pertahanan kesihatan,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam
Dalam pada itu, Teng Wai menjelaskan keradangan paru-paru adalah salah satu komplikasi biasa influenza, tetapi pneumonia tidak hanya disebabkan oleh influenza.
“Sebenarnya, pneumonia dan influenza adalah dua penyakit berbeza yang disebabkan oleh virus berbeza. Oleh itu, vaksin pneumonia dan vaksin influenza menyasarkan patogen berlainan dan memberikan kesan pencegahan yang berbeza,” katanya.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar CMH, Henderic Koo memberitahu, sejak minggu lalu, jabatan pesakit luar hospital itu menunjukkan sekurang-kurangnya 50 peratus pesakit mempunyai simptom disyaki influenza, di mana lebih separuh diuji positif influenza terutama jenis A.
Menurutnya, kebanyakkan pesakit datang setelah mengalami selesema, batuk, demam serta keletihan.
“Bagi kes yang lebih serius, doktor akan menahan mereka di wad pengasingan dan memantau keadaan mereka.
“Hospital telah melaksanakan langkah-langkah pencegahan dengan meletakkan pesakit di wad pengasingan, mewajibkan pelawat memakai pelitup muka dan mematuhi prosedur disinfeksi kebersihan,” katanya. – UTUSAN










