Hanya 3% bakal jemaah tidak penuhi syarat Arab Saudi

Hanya 3% bakal jemaah tidak penuhi syarat Arab Saudi

MOHD. Na’im Mokhtar menyampaikan anugerah Huffaz Terbaik kepoada Nazmuslim Nazlan pada Majlis Anugerah Kecemerlangan dan Inspirasi Pendidikan Madani MAIWP di Masjid Wilayah Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam. – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Hanya tiga peratus daripada 31,600 bakal jemaah haji Malaysia tidak memenuhi syarat baharu yang diperketatkan oleh kerajaan Arab Saudi pada musim 1447H/2026M.

Bagaimanapun, Tabung Ha­ji (TH) memberi jaminan tidak akan menafikan hak mana-mana pendeposit untuk me­nunaikan fardu haji ter­utama dalam kalangan warga emas.

Menteri di Jabatan Perda­na Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar berkata, TH akan mengeluarkan surat tawaran kepada semua jemaah mengikut giliran sebelum membuat saringan kesihatan.

Malah katanya, saringan ke­sihatan yang dilaksanakan TH tidak berubah seperti amalan sebelum ini.

“Ibadah haji sememangnya adalah rukun Islam kelima yang amat dituntut. Namun ia satu ibadah yang dituntut jika memenuhi syarat istito’ah (kemampuan) sahaja.

“Ibadah ini menjadi wajib bagi mereka yang mencukupi syarat keseluruhannya termasuklah tahap kesihatan yang memuaskan,” katanya mengulas syarat baharu yang ditentukan Kerajaan Arab Saudi semalam.

Mohd. Na’im berkata, pada tahun 2024, hanya dua peratus bakal jemaah tidak melepasi saringan kesihatan, manakala tahun 2025 meningkat sedikit kepada tiga peratus.

Katanya, majoriti besar jemaah didapati sihat dan layak menunaikan haji.

Mohd. Na’im juga menyarankan kepada bakal jemaah haji yang tidak melepasi syarat kelayakan kesihatan menangguhkan giliran menunaikan ibadah haji ke tahun 2027 bagi memastikan mereka benar-benar bersedia dari segi fizikal dan mental.

Katanya, langkah itu bukan sekatan, sebaliknya peluang kepada bakal jemaah untuk memperbaiki tahap kesihatan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

“Ibadah haji bukan sekadar menunaikan rukun Islam kelima, tetapi juga ujian kemampuan (istito’ah) yang turut merangkumi keupayaan fizikal dan mental seseorang jemaah.

“Tanpa tubuh yang sihat, ibadah haji yang sempurna sukar untuk dicapai. Syarat kesihatan ini bukan untuk menyusahkan, sebaliknya bagi memastikan keselamatan dan kesempurnaan ibadah para dhuyufurrahman,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Menurut Mohd. Na’im, TH dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) kini memperkukuh sistem pemeriksaan kesihatan wajib bagi memastikan hanya jemaah yang benar-benar layak dibenarkan berangkat.

Sebelum ini, Presiden Persatuan Pengembaraan dan Agensi Pelancongan Selangor (SAFFTA), Dr. Fathir Badri Alhadad berharap syarat baharu kesihatan jemaah haji itu ditimbang semula agar ia tidak terlalu ketat.

Katanya, ini bagi memberi peluang kepada lebih ramai umat Islam di negara ini berpeluang menunaikan rukun Islam kelima tanpa sekatan.

Beliau berkata, penilaian kesihatan perlu dibuat dengan pertimbangan yang seimbang supaya tidak menafikan peluang sekali seumur umat Islam menunaikan haji.

Sementara itu, beberapa orang bakal jemaah menyuarakan kebimbangan berikutan syarat baharu kerajaan Arab Saudi itu.

Mohd. Akhir Man, 60, dari Kampung Mat Acheh, Yan, Kedah, berkata, dia agak terkilan dengan syarat baharu itu kerana telah beberapa tahun menghadiri kursus haji sejak mendaftar pada 2010.

“Kami memang teruja untuk menunaikan haji tambahan lagi selepas banyak kali menghadiri kursus yang ditetapkan.

“Walaupun keadaan kesihatan sekarang terkawal tetapi dengan syarat baharu itu tentunya kami terpaksa melalui proses saringan kesihatan yang ditetapkan sebelum menerima surat tawaran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia.

Seorang lagi bakal jemaah, Jamaliah Othman, 60, juga dari Yan berkata, dia telah berazam untuk menunaikan haji dalam masa terdekat melalui kerja kerasnya mengumpul wang untuk disimpan dalam akaun TH sejak puluhan tahun lalu.

“Saya bimbang dalam keadaan menunggu giliran terlalu lama ini akan menyebabkan berdepan dengan masalah kesihatan yang secara langsung akan menggagalkan saya memenuhi rukun Islam berkenaan.

“Jika boleh saya minta TH menyegerakan permohonan calon yang telah lama mendaftar bagi mengelak sebarang syarat tambahan baharu yang bakal dihadapi masa hadapan,” katanya yang mengakui tahap kesihatannya berada dalam keadaan baik. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN