Hab EV pertama di Malaysia siap menjelang 2027

Hab EV pertama di Malaysia siap menjelang 2027

ALEXANDER Nanta Linggi, melihat replika Terra ChargEV Hub pada Majlis Pecah Tanah HAB Pengecasan EV Bersepadu Pertama di Malaysia di Kawasan Rehat dan Rawat Seremban Arah Selatan, PLUS hari ini.--UTUSAN/MOHD. SHAHJEHAN MAAMIN.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Hab pengecasan kenderaan elektrik (EV) Bersepadu Pertama di Malaysia (Hab EV) yang terletak di KAWASAN Rehat dan Rawat (R&R) Seremban (arah Selatan) Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dijangka siap menjelang awal tahun 2027.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, pembangunan dengan kos kira-kira RM12 juta itu bakal merevolusikan konsep R&R lebuh raya dengan mengintegrasikan teknologi pengecasan pantas EV bersama ekosistem perkhidmatan sampingan yang moden dan dinamik.

“Inisiatif Hab EV ini merupakan satu usaha yang selari dengan dasar dan hala tuju kerajaan dalam mempercepatkan peralihan tenaga dan mobiliti rendah karbon.

“Ia merupakan sebahagian daripada pelaksanaan Pelan Peralihan Tenaga Negara dan Pelan Mobiliti Rendah Karbon untuk mencapai sasaran sifar pelepasan rumah hijau menjelang 2025,” katanya pada Majlis Pecah Tanah Hab Pengecasan EV Bersepadu Pertama di Malaysia di sini hari ini.

Yang Turut hadir, Pengerusi PLUS Malaysia Berhad (PLUS), Datuk Mohamad Nasir Ab. Latif.

Pada majlis tersebut, PLUS dan Yinson GreenTech telah mengumumkan kolaborasi
bersama melalui Terra ChargEV Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang akan membangunkan Hab EV itu.

Alexander berkata, Hab EV di R&R Seremban itu akan dilengkapi dengan 20 poin kemudahan pengecasan pantas selain kemudahan awam seperti surau, tandas dan sistem pencahayaan cekap tenaga turut disediakan.

“Hab EV ini akan dilengkapi dengan kemudahan pengecasan pantas prestasi tinggi sehingga 350 kiloWatt (kW). Reka bentuknya disediakan dengan infrastruktur solar, membuktikan komitmen terhadap amalan tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan komited untuk mencapai sasaran mewujudkan 10,000 stesen pengecas EV di seluruh negara menjelang akhir tahun 2025.

“Sasaran 10,000 stesen pengecas EV melibatkan semua lokasi termasuk di lebuh raya, PLUS menyumbang kepada penambahan stesen EV yang lebih banyak.

“Difahamkan terdapat 140 poin pengecas pantas di kesemua lebuh raya di Malaysia termasuk 114 poin di PLUS, inisiatif ini akan diteruskan dengan tambahan 50 poin pengecas di seluruh negara pada tahun hadapan,” katanya.

Sementara itu, Mohamad Nasir berkata, PLUS komited untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau sebanyak 35 peratus menjelang tahun 2030.

“Sejak 2023 PLUS telah mengambil langkah proaktif dengan membangunkan dan melaksanakan infrastruktur pengecasan pantas bagi EV di rangkaian lebuh raya.

“Lokasi Hab EV ini dipilih di R&R Seremban (arah Selatan) bagi memberi nilai tambah kepada pembangunan semula hentian tersebut yang telah melakar sejarah sebagai R&R lestari pertama di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN