Geramm kecam sikap berang menteri terhadap wartawan

Geramm kecam sikap berang menteri terhadap wartawan

terkini
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Gerakan Media Merdeka (Geramm) mengecam tindakan seorang menteri yang bersikap berang terhadap wartawan yang bertanyakan soalan kepadanya.

Dalam kenyataan hari ini, Geramm memandang serius insiden tersebut dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak beradab, menghina serta tidak boleh diterima, khususnya apabila ia dilakukan oleh seorang menteri.

“Wartawan mempunyai hak dan tanggungjawab untuk bertanya, terutama kepada ahli politik dan penjawat awam bagi mendapatkan penjelasan terhadap isu-isu yang menjadi kepentingan awam,” kata kenyataan itu.

Geramm turut menegaskan bahawa soalan wartawan bukan serangan peribadi, sebaliknya sebahagian daripada proses semak dan imbang yang menjadi asas kepada sistem demokrasi.

“Wartawan bertanya bagi pihak masyarakat yang berhak tahu, bukan untuk memalukan mana-mana pihak. 

“Oleh itu, sebarang reaksi marah, ugutan atau penghinaan terhadap wartawan yang sekadar menjalankan tugas adalah tidak beradab dan tidak boleh diterima, lebih-lebih lagi apabila datang daripada seorang menteri,” katanya.

Katanya lagi, kebebasan media bukan ancaman kepada kerajaan, sebaliknya asas kepada ketelusan dan pentadbiran yang berintegriti.

Berikutan itu, katanya, wartawan tidak wajar dijadikan sasaran penghinaan hanya kerana mengemukakan soalan yang dianggap sukar.

“Sikap menghina atau mengugut wartawan memberi isyarat buruk kepada masyarakat dan mencipta suasana takut dalam kalangan pengamal media yang akhirnya menghakis keberanian untuk bertanya perkara penting,” katanya.

Geramm sehubungan itu menyeru semua pemimpin politik mengamalkan budaya menghormati media serta menjawab pertanyaan secara terbuka dan profesional.

“Jika ada ketidakpuasan terhadap cara soalan dikemukakan, ia boleh dijawab dengan hujah atau penjelasan, bukan dengan ugutan, herdikan atau penghinaan,” katanya.

Kelmarin, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming ketika mengumumkan projek pencahayaan bandar ‘I Lite U’ di ibu negara berang dengan soalan daripada wartawan Utusan Malaysia yang bertanyakan mengapa tema projek tersebut dalam bahasa Inggeris dan bukan bahasa kebangsaan.

Kor Ming berkata dan mempersoal ‘awak dari media mana? saya akan hubungi editor awak’.-UTUSAN.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN