Gencatan senjata Pakistan, Afghanistan dilanjutkan

Gencatan senjata Pakistan, Afghanistan dilanjutkan

ANGGOTA keselamatan Taliban berkawal dekat pintu pagar persimpangan sempadan antara Afghanistan dan Pakistan di daerah Spin Boldak di wilayah Kandahar. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISTANBUL: Pakistan dan Afghanistan pada Khamis bersetuju melanjutkan gencatan senjata selepas mengadakan rundingan selama enam hari di Istanbul, menurut kenyataan Turkiye yang menjadi pengantara bersama Qatar.

Gencatan senjata itu mula berkuat kuasa pada 19 Oktober lalu.

“Semua pihak bersetuju untuk mewujudkan mekanisme pemantauan dan pengesahan yang akan memastikan keamanan dikekalkan serta mengenakan hukuman terhadap pihak yang melanggar perjanjian,” kata Kementerian Luar Turkiye mengenai rundingan yang bermula 25 hingga 30 Oktober itu.

Kementerian itu berkata, mesyuarat susulan akan diadakan di Istanbul pada 6 November bagi memutuskan cara pelaksanaan mekanisme tersebut.

Katanya, Turkiye serta Qatar bersedia untuk meneruskan kerjasama dengan kedua-dua pihak bagi mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan.

Persetujuan itu dicapai selepas kedua-dua negara berdepan pertempuran sempadan paling buruk dalam beberapa tahun, susulan pengambilalihan kuasa oleh Taliban di Kabul pada 2021.

Ketegangan bulan ini menyaksikan serangan udara Pakistan dan tembakan balas dari Afghanistan serta penutupan beberapa lintasan utama perdagangan antara kedua-dua negara.

Sementara itu, jurucakap Taliban, Zabihullah Mujahid dalam kenyataan berasingan mengesahkan penutupan rundingan tersebut dan memberitahu kedua-dua pihak bersetuju meneruskan perbincangan dalam mesyuarat akan datang.

Beliau berkata, Afghanistan mahu menjalin hubungan baik dengan Pakistan berdasarkan prinsip saling menghormati dan tiada campur tangan dalam urusan dalaman.

Bagaimanapun, Pakistan masih belum mengeluarkan sebarang kenyataan.- AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN