TEL AVIV: Dua utusan tertinggi Amerika Syarikat (AS) ke Asia Barat mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, semalam susulan insiden keganasan pada hujung minggu yang mengancam gencatan senjata di Gaza yang ditaja oleh Washington.
Pertemuan itu berlangsung ketika Israel membuka semula lintasan sempadan Kerem Shalom untuk membolehkan penghantaran bantuan ke Gaza, selepas ditutup sementara pada Ahad berikutan pembunuhan dua askar Israel.
Sebagai tindak balas, tentera Israel melancarkan puluhan serangan udara ke atas beberapa sasaran Hamas di seluruh Gaza menggunakan 153 tan bom, menurut Netanyahu.
Utusan khas Presiden AS, Steve Witkoff dan penasihat kanan, Jared Kushner, bertemu Netanyahu bagi membincangkan perkembangan dan situasi terkini di rantau ini, kata jurucakap Pejabat Perdana Menteri, Shosh Bedrosian.
Dalam perkembangan lain, Bedrosian turut memaklumkan Naib Presiden AS, JD Vance, bersama isterinya, dijangka melawat Israel selama beberapa hari dan akan mengadakan pertemuan dengan Netanyahu.
Dalam ucapannya di Parlimen Israel, Netanyahu berkata Vance akan tiba pada Selasa bagi membincangkan dua perkara utama iaitu cabaran keselamatan yang dihadapi Israel serta peluang diplomatik yang ada pada negara tersebut.
Sebelum ini, Vance menyeru negara-negara Teluk untuk menubuhkan infrastruktur keselamatan serantau bagi memastikan Hamas dilucutkan senjata sepenuhnya.
Sementara itu, delegasi Hamas berada di Kaherah semalam bagi mengadakan rundingan dengan perantara dari Qatar dan Mesir mengenai kesinambungan gencatan senjata di Gaza.
Dalam pada itu, Kesatuan Eropah (EU) turut memberi amaran blok berkenaan tidak menolak kemungkinan mengenakan sekatan terhadap Israel bagi memastikan perjanjian gencatan senjata Gaza dilaksanakan sepenuhnya, menurut Ketua Dasar Luar EU, Kaja Kallas.- AGENSI