Enam ditahan rusuhan depan hotel penempatan pelarian di Dublin

Enam ditahan rusuhan depan hotel penempatan pelarian di Dublin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DUBLIN: Enam individu ditahan selepas tercetus rusuhan ganas di luar sebuah hotel penempatan pelarian di barat daya Dublin, Ireland, susulan dakwaan serangan seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun.

Menurut Pasukan Perkhidmatan Polis Ireland, Garda Síochána, kejadian berlaku di hadapan Hotel Citywest di Saggart apabila lebih 1,000 penunjuk perasaan berhimpun selepas media tempatan melaporkan suspek utama, lelaki berusia 26 tahun yang dituduh menyerang kanak-kanak itu, merupakan seorang pemohon suaka.

Pesuruhjaya Polis, Justin Kelly, menyifatkan demonstrasi itu sebagai bukan protes aman dan menegaskan pegawai polis menjadi sasaran keganasan berterusan apabila penunjuk perasaan melemparkan batu bata, botol kaca serta bunga api ke arah anggota keselamatan.

“Tindakan ini jelas satu perbuatan samseng. Ia bukan bantahan, tetapi serangan terhadap pihak berkuasa,” katanya.

Seorang pegawai dilaporkan cedera di kaki, manakala helikopter polis turut disasarkan dengan pancaran laser oleh perusuh.

Menurut kenyataan Garda, rusuhan tersebut dipercayai dianjurkan oleh kumpulan tidak berdaftar melalui media sosial yang menyemai kebencian serta menghasut orang ramai untuk bertindak ganas.

Sementara itu, suspek berusia 26 tahun terbabit dihadapkan ke mahkamah pada hari sama atas pertuduhan berkaitan kes serangan seksual yang didakwa berlaku berhampiran hotel berkenaan.

Mangsa yang berada di bawah jagaan agensi kebajikan kanak-kanak Tusla dilaporkan hilang selepas melarikan diri semasa lawatan ke pusat bandar sebelum kejadian.

Perdana Menteri Ireland, Micheál Martin, mengecam kekecohan itu, menyifatkannya sebagai keganasan keji dan perbuatan jijik terhadap anggota keselamatan.

Dalam kenyataannya di Parlimen, Martin menyifatkan insiden itu sebagai amat serius dan mengakui terdapat kegagalan negara dalam melindungi kanak-kanak berkenaan.

“Saya memahami kebimbangan dan kemarahan rakyat terhadap apa yang berlaku. Ini satu kegagalan dalam tanggungjawab negara,” katanya.

Insiden itu berlaku beberapa bulan selepas rusuhan anti-pelarian di Ireland Utara pada Jun lalu, yang menyebabkan puluhan anggota polis cedera berikutan dakwaan cubaan rogol melibatkan dua remaja lelaki di Ballymena.

Polis tidak mendedahkan identiti atau asal-usul suspek kes berkenaan, namun memaklumkan mereka meminta jurubahasa bahasa Romania di mahkamah, yang kemudiannya mencetuskan serangan bersifat perkauman terhadap beberapa premis oleh kumpulan perusuh. -AFP

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN