SAN FRANCISCO: Syarikat kecerdasan buatan (AI) terkemuka dunia, OpenAI, mengumumkan pelancaran pelayar web baharu dinamakan Atlas, sekali gus meletakkan syarikat itu dalam persaingan langsung dengan Google ketika semakin ramai pengguna internet bergantung kepada AI untuk mendapatkan jawapan dan maklumat.
Langkah memperkenalkan Atlas dilihat sebagai usaha OpenAI menjadikan dirinya pintu utama kepada carian dalam talian yang berpotensi menarik lebih banyak trafik internet serta menjana pendapatan daripada pengiklanan digital.
OpenAI sebelum ini memaklumkan aplikasi popularnya, ChatGPT mempunyai lebih 800 juta pengguna di seluruh dunia, namun kebanyakannya masih menggunakan versi percuma.
Syarikat berpangkalan di San Francisco itu dilaporkan masih mencatatkan kerugian dan sedang mencari cara untuk menjana keuntungan.
Menurut OpenAI, Atlas dilancarkan pada Selasa untuk komputer riba Apple yang menggunakan sistem operasi macOS, sebelum diperluaskan ke Microsoft Windows, iOS dan Android.
Pelancaran ini berlaku hanya beberapa bulan selepas seorang eksekutif OpenAI memberi keterangan syarikat itu berminat membeli pelayar Google Chrome sekiranya mahkamah persekutuan Amerika Syarikat (AS) mengarahkan Google menjualnya bagi mengelakkan penyalahgunaan kuasa monopoli.
Namun, Hakim Persekutuan, Amit Mehta menolak permintaan Jabatan Kehakiman AS untuk memaksa penjualan Chrome, dengan alasan kemajuan pesat dalam industri AI kini sedang mengubah landskap persaingan teknologi secara signifikan.
Pelayar baharu OpenAI itu bakal berdepan cabaran besar menyaingi Google Chrome yang kini mempunyai kira-kira tiga bilion pengguna di seluruh dunia serta sudah mula mengintegrasikan beberapa ciri AI daripada teknologi Gemini keluaran Google.
Kejayaan luar biasa Chrome juga boleh dijadikan panduan untuk OpenAI dalam meneroka pasaran pelayar web.
Ketika Chrome diperkenalkan pada tahun 2008, Internet Explorer milik Microsoft mendominasi pasaran dan ramai pemerhati ketika itu tidak menyangka pelayar baharu mampu memberi saingan namun Chrome akhirnya muncul sebagai pelayar paling popular di dunia.-AGENSI











