PASIR SALAK: Tibanya musim durian setiap tahun menjadi rutin buat seorang bekas anggota polis untuk bermalam di pondok kecil di dusunnya di Kampung Bandor Lama, Batu Hitam, Kampung Gajah di sini.
Pemilik dusun berkenaan, Ahmad @ Shuhaimi Abdullah, 67, bersama isterinya Ida Idris, menjadikan kawasan dusun durian seluas dua ekar itu bukan sekadar tempat menunggu buah luruh sebaliknya sebagai lokasi santai yang bersih, tenang dan mendamaikan.
Berbeza dengan kebanyakan dusun yang dipenuhi semak-samun, kawasan milik pasangan itu tersusun rapi, bersih dan menarik perhatian sesiapa sahaja yang melaluinya.
Malah, pondok kecil di tengah dusun menjadi tarikan baharu kepada penggemar durian yang ingin menikmati suasana kampung sebenar.
“Sejak bersara pada 2015, saya hidupkan semula dusun peninggalan orang tua ini. Saya bersihkan, tanam pokok durian secara teratur dan dirikan pondok kecil untuk berehat serta menunaikan solat selepas mengutip durian,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Menurut Shuhaimi, aktiviti menguruskan dusun itu bukan sahaja mengisi masa lapang, malah menjadi terapi yang menyihatkan tubuh badan.
“Sebelum ini kawasan ini semak dan tidak terurus. Sekarang, saya jadikan ia tempat rehat dan terapi. Saya sukakan suasana bersih, sebab itu setiap hari saya pastikan kawasan ini kemas,” ujarnya.
Menariknya, Shuhaimi tidak lokek menjamu tetamu yang singgah di dusunnya.
Sama ada kenalan lama mahupun orang yang tidak dikenali, semua dialu-alukan menikmati durian secara percuma.-UTUSAN.










