BATU PAHAT: Dua pelajar anak Orang Asli yang juga adik-beradik bertekad mahu membuktikan bahawa tinggal dan belajar di kawasan pedalaman bukan halangan untuk berjaya dalam pendidikan.
Arzelin Rahman, 21, bersama abangnya, Arzeeli, 22, yang merupakan anak kelahiran Kampung Orang Asli Sungai Bumbun di Pulau Carey, Banting, Selangor itu turut menjadikan ibu mereka yang bekerja sebagai eksekutif sebuah kilang terkemuka sebagai inspirasi kejayaan.
Arzelin, berkata, dia mengikuti pengajian Sarjana Muda Teknologi Maklumat manakala abangnya pula dalam bidang Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Eletronik (Komunikasi dan Komputer) di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).
“Minat dengan budaya dan komuniti pelajar di UTHM membuatkan kami dua beradik memilih universiti ini selain kos sara hidup lebih rendah berbanding universiti di bandar besar.
“Universiti ini juga menawarkan banyak program TVET dan ia membolehkan abang belajar sama-sama dengan saya di sini,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Dalam pada itu, Naib Canselor UTHM, Prof. Dr. Mas Fawzi Mohd. Ali berkata, seramai 2,658 orang pelajar baharu mendaftarkan diri bagi program pengajian sarjana muda untuk sesi akademik 2025/2026.
Katanya, seramai 1,935 pelajar mendaftar di kampus induk manakala 723 lagi di kampus cawangan di Pagoh.










